FMT Reporters
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuching di Sarawak memerintahkan lima remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan bersenjata di sebuah kedai 24 jam.
Hakim Noorhisham Jaafar mengeluarkan perintah itu selepas meneliti laporan sosial dan tingkah laku yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, lapor Dayak Daily.
Dua daripada remaja itu, kedua-duanya berusia 18 tahun, diperintahkan untuk kekal di sekolah berkenaan sehingga mereka berusia 21 tahun. Tiga lagi, berusia antara 14 hingga 15 tahun, diperintahkan untuk ditahan di situ selama lima tahun.
Mereka mengaku bersalah pada 5 Ogos atas pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan, dibaca bersama Seksyen 397, yang meliputi rompakan melibatkan penggunaan senjata.
Menurut fakta kes, mereka bersama seorang lagi rakan subahat yang masih bebas, menyerang seorang pekerja kedai berusia 19 tahun dengan parang dan kayu kira-kira jam 4 pagi pada 1 Jun di sebuah kedai 24 jam di Jalan Tun Jugah.
Pekerja itu melaporkan bahawa penyerang mengugutnya dan memaksanya menyerahkan wang tunai RM1,000 serta rokok sebelum melarikan diri.
Remaja berkenaan turut merosakkan monitor kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin daftar tunai kedai itu.
Polis menahan mereka pada 31 Julai.
Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Farid mengetuai pendakwaan, manakala semua remaja itu tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan