M Hifzuddin Ikhsan

Polis membawa empat orang warga China untuk didakwa atas kesalahan melakukan jenayah culik dan mengurung mangsa di Mahkamah Alor Setar.- Foto NSTP
ALOR SETAR: Empat warga China didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan jenayah culik dan mengurung seorang wanita warga China bulan lalu.
Huang Jian, 39, Wang Hao Yu, 33, Guan Siqi, 24, dan Liu Tingjun, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, keempat tertuduh didakwa menculik wanita warga China, Xiong Xi Qiau, 33, dengan niat untuk mengurung mangsa secara rahsia dan salah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Amira 2, Taman Amira, Langgar, jam 8.40 malam, 7 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh diwakili peguam, Jodiah Poh Yi Tying dan S Suresh.
Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh bagi kes itu, selain terdapat risiko tertuduh melarikan diri sekiranya dia dilepaskan dengan jaminan.
Mahkamah kemudian memutuskan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan 11 Oktober depan sebagai tarikh untuk proses serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menyelamatkan empat warga asing termasuk tiga wanita yang menjadi mangsa sindiket culik untuk tebusan di negara ini.
Dalam kejadian 7 Ogos itu, dua daripada lapan suspek sindiket terbabit ditembak mati di Taman Amira, Alor Setar, selepas berlaku insiden berbalas tembakan antara penjenayah dan polis.
Dalam operasi itu, polis menyelamatkan seorang lelaki Singapura berusia 72 tahun dan seorang wanita warga China berusia 33 tahun yang menjadi mangsa culik dilakukan sindiket berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan