MOHD AZLI ADLAN

Wan Adilah maut disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah kolam ikan di Kampung Air Tawar, Kuala Besut hari ini.
BESUT – Dua wanita yang maut disyaki akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kolam ikan di Kampung Air Tawar, Kuala Besut hari ini dikenal pasti sebagai Wan Adilah Wan Awang, 49, dan Rubayyi Razak, 27.
Wan Adilah yang merupakan pengusaha kolam ikan tersebut merupakan bekas Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), manakala Rubayyi pula difahamkan merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang yang sedang menjalani latihan praktikal.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kolam ikan tersebut pada pukul 1.40 tengah hari.
“Mereka disyaki telah terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian juga dilakukan Tenaga Nasional Berhad,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Rozaime berkata, mayat Wan Adilah dan Rubayyi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, di sini, untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan setakat ini kes telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan