Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my

Suasana di luar sebuah premis penganut ajaran Qadiani di Kg Nakhoda yang kelihatan lengang selepas operasi. FOTO HARI ANGGARA
Gombak: Penduduk Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana, di sini, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang menjadikan sebuah premis tiga tingkat sebagai pusat penyebaran ajaran Ahmadiah (Qadiani) yang didakwa bebas beroperasi di kawasan perumahan mereka sejak lebih dua dekad lalu.
Ini kerana ajaran Qadiani itu bukan sekadar menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, malah kehadiran pengikut kumpulan itu yang semakin ramai dipelopori warga asing nyata mencetuskan kegelisahan komuniti setempat.
Menyuarakan rasa ralat itu, penduduk dikenali sebagai Syam berkata, biarpun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah memaparkan amaran jelas 'Qadiani Bukan Agama Islam' di depan premis itu, kegiatan kumpulan itu dilihat langsung tidak terjejas.
"Paling mengecewakan adalah waktu solat Jumaat. Masjid kariah kami terletak tidak sampai 100 meter dari pusat aktiviti ajaran Qadiani itu, tetapi mereka tetap berkeras mengadakan solat Jumaat kumpulan mereka sendiri.
"Situasi sebegini sangat merisaukan kerana ia boleh mengelirukan akidah anak-anak muda di sini," katanya.
Syam berkata, situasi menjadi lebih tegang kebelakangan ini apabila kawasan kampung sering dipenuhi pendatang asing dari Pakistan dan India, terutama apabila pusat itu menganjurkan acara berskala besar.
"Selain masalah kesesakan jalan yang teruk di persimpangan utama, penduduk juga mula meragui status pendatang terbabit sama ada mereka memiliki dokumen sah atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, serbuan pihak berkuasa di premis tiga tingkat itu, baru-baru ini, bukan saja membongkar aktiviti penganut ajaran Qadiani yang masih berterusan, malah mendedahkan keresahan berterusan penduduk tempatan berhubung lambakan warga asing pengikut ajaran itu di kawasan berkenaan.
Ketua Kampung Nakhoda, Jefrizal Jasman, berkata tindakan premis itu menganjurkan solat Jumaat sendiri di bangunan berkenaan sedangkan terdapat masjid utama berhampiran mencetuskan kekeliruan awam dan suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat sekeliling.
"Kekeliruan itu semakin meruncing apabila ada dalam kalangan masyarakat luar menyangka masjid rasmi Kampung Nakhoda yang diserbu, sedangkan operasi itu hanya membabitkan premis tiga tingkat yang difahami menjadi pusat pengumpulan penganut ajaran Qadiani.
"Premis itu sebenarnya digunakan sebagai tempat pengumpulan pengikut Qadiani. Kebetulan ketika operasi dijalankan, mereka sedang mengadakan solat Jumaat di situ, sedangkan masjid utama kampung hanya berada berhampiran," katanya.
Mengulas mengenai penerimaan penduduk tempatan, Jefrizal berkata, warga kampung secara keseluruhannya tidak selesa dengan kehadiran dan bertapaknya ajaran Qadiani di penempatan Melayu itu sejak sekian lama.
"Amalan penganut ajaran itu yang menggunakan ayat suci al-Quran, ceramah agama dan meletakkan kalimah Lailahaillallah pada bangunan mereka sudah mengelirukan orang ramai kerana ia kelihatan seolah-olah menyerupai amalan agama Islam.
"Mengikut fatwa, Qadiani ini bukan agama Islam dan kedudukannya sama seperti agama lain, namun tindakan mereka yang menyerupai amalan Islam amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan imej baik Kampung Nakhoda," katanya.
Beliau berkata, kerisauan penduduk turut menjurus kepada isu perkahwinan campur antara penganut ajaran berkenaan dengan warga tempatan, selain kewujudan segelintir penganutnya yang menetap dan menyewa di sekitar kawasan kediaman berkenaan.
"Setakat ini tiada sebarang laporan diterima mengenai tindakan penganut ajaran itu mengganggu ketenteraman awam secara fizikal atau cuba menyebarkan pegangan mereka secara terang-terangan kepada penduduk kampung," katanya.
Imam Satu Masjid Kampung Nakhoda, Mohamad Zaid Mohamad Amran, pula berkata pihak pengurusan masjid menafikan dakwaan rumah ibadat itu terbabit atau dijadikan pusat keagamaan dan aktiviti ajaran Qadiani membabitkan warga asing.
"Pihak masjid kekal membantah sebarang penularan ajaran Qadiani di tempat kami.
"Masjid Kampung Nakhoda tidak pernah menyokong atau menyebarkan ajaran Qadiani, malah kami tidak memberi ruang langsung kepada pengikut ajaran terbabit menggunakan rumah ibadat ini untuk kegiatan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan