Poliana Ronnie Sidom

Keadaan kenderaan polis yang terbabit kemalangan maut di Kampung Lot M, hari ini. – Foto IPD Kinabatangan
KINABATANGAN: Seorang anggota polis maut apabila kenderaan pasukan dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kampung Lot M, di sini, hari ini, selepas selesai mengiringi tahanan.
Konstabel Mathew Zulian Backly, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa bersama dua lagi anggota dikatakan dalam perjalanan pulang ke IPD Kinabatangan selepas selesai mengiringi tahanan dari Penjara Sandakan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Janeve Sindih, berkata kenderaan pasukan berkenaan dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain dari arah hadapan.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga anggota mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Kinabatangan, untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, seorang daripada anggota berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 4.53 petang ketika dirawat,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam ini.
Janeve berkata, mayat mangsa akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak, untuk urusan seterusnya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan pemergian anggota polis itu sebagai satu kehilangan buat seluruh warga IPD Kinabatangan.
“Semoga keluarga mendiang diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan