KOSMO!

POLIS Johor sedang menjalankan siasatan di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru susulan satu kejadian tembakan yang dipercayai berlaku pada pukul 2 petang, hari ini.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki cedera dipercayai terkena tembakan dalam kejadian di Jalan Gertak Merah, berhampiran pintu masuk utama Zoo Johor, di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
“Saya sahkan berlaku tembakan melibatkan anggota polis dan mangsa orang awam. Orang awam berkenaan dilaporkan cedera,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau turut memaklumkan satu sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan akan dilakukan pihaknya, esok.
Sementara itu, seorang pengunjung Zoo Johor yang enggan dikenali berkata, insiden itu dipercayai berlaku pada pukul 2 petang.
“Ketika itu saya berada di dalam zoo, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seperti tembakan. Jika tidak silap dua das.
“Saya sempat berseloroh dengan rakan dan berkata ‘macam itu rupanya bunyi pistol. Tidak sangka pula memang itu bunyi tembakan,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi.
Tinjauan di lokasi mendapati, kawasan berkenaan telah ditutup dengan tali garisan polis berwarna kuning dari kedua-dua arah.
Kenderaan yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan masih berada di lokasi, bagaimanapun pemandu lelaki terlibat telah dibawa ke hospital bagi proses selanjutnya.-KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan