FMT Reporters
Mangsa berusia 44 tahun mengadu ditolak dan ditumbuk di rusuk kiri dalam kejadian di Pudu.

Tular rakaman seorang lelaki dipukul ketika bersiaran langsung di Facebook di hadapan sebuah kedai, di Jalan Pasar Baharu, Pudu.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditumbuk ketika bersiaran langsung di Facebook, dalam kejadian di Pudu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Dang Wangi, Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah malam di hadapan sebuah kedai, di Jalan Pasar Baharu.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada lelaki Melayu berusia 44 tahun itu, pada 2.52 pagi tadi.
“Semasa kejadian, terdapat seorang aktivis sedang membuat rakaman tanpa kebenaran pengadu dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Pengadu kemudian dihampiri rakan aktivis berkenaan yang menolak dan menumbuk di rusuk kiri pengadu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pergaduhan kecil turut berlaku sebelum beberapa orang awam datang meleraikan keadaan. Polis juga menerima laporan daripada aktivis terbabit pada hari sama.
Katanya, polis mengesan video berdurasi 39 saat yang tular di Facebook, memaparkan seorang lelaki dipukul ketika sedang bersiaran langsung di platform itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan