"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Panik lihat sekatan jalan raya, pemuda rempuh MPV polis

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Seorang lelaki berusia 20-an ditahan selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan SS2/75. – Foto Polis
PETALING JAYA: Seorang pemuda berusia 20-an bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan SS2/75, di sini, awal pagi tadi.

Suspek yang memandu sebuah Toyota Vios dipercayai panik selepas menyedari kehadiran anggota polis yang menjalankan sekatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, tindakan suspek melarikan diri menyebabkan beberapa kereta peronda polis (MPV) terpaksa mengejarnya.

Menurutnya, suspek turut bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis ketika anggota bertugas cuba melakukan tangkapan.

“Semasa cubaan tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri semula.

“Kereta Toyota Vios itu dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum berjaya ditahan di kawasan Jalan Tiara Titiwangsa 10, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, semakan mendapati suspek yang juga lelaki tempatan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Bagaimanapun, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif daripada pengaruh bahan terlarang.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu.

“Saksi mempunyai maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, beberapa klip video tular di media sosial memaparkan sekurang-kurangnya empat MPV polis mengejar sebuah kereta berwarna putih.

Tiada ulasan: