"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga pelancong Malaysia didenda lebih RM1,000 kerana halang lalu lintas di Hat Yai

Bernama
Tiga pelancong Malaysia dikenakan denda berjumlah 12,000 Baht (anggaran RM1,447) oleh polis Thailand selepas didapati memandu secara menghalang lalu lintas dan melakukan ubah suai kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang di Jalan Phetkasem, Hat Yai, awal pagi Ahad. - Foto hiasan/Sinar Harian
SONGKHLA: Tiga pelancong Malaysia dikenakan denda berjumlah 12,000 Baht (anggaran RM1,447) oleh polis Thailand selepas didapati memandu secara menghalang lalu lintas dan melakukan ubah suai kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang di Jalan Phetkasem, Hat Yai, di sini awal pagi Ahad.

Timbalan Inspektor Trafik Balai Polis Hat Yai, Leftenan Polis Prut Pattanapran berkata ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 26 hingga 30 tahun itu bersama seorang warga Thailand diarahkan hadir ke balai polis selepas pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai tindakan mereka.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekitar 12.30 pagi, melibatkan tiga kereta bernombor pendaftaran Malaysia berwarna biru, merah dan putih serta sebuah kereta hitam milik warga Thailand yang bergerak dalam satu barisan di jalan berkenaan.

"Pemandu kereta hitam yang berada di hadapan dipercayai merakam video untuk kandungan media sosial, manakala kumpulan kenderaan itu beberapa kali melakukan pusingan U dengan bunyi ekzos yang kuat serta menghalang lalu lintas," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Prut berkata aksi berkenaan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan sebelum rakaman kejadian itu tersebar di media sosial.

"Kumpulan pelancong berkenaan dipercayai sedang merakam kandungan media sosial ketika melakukan aksi itu dan mungkin tidak mengetahui peraturan jalan raya di Thailand," katanya.

Beliau berkata semua suspek telah mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak 4,000 Baht (anggaran RM482) setiap seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.

Prut menasihatkan pelancong asing supaya memahami, menghormati dan mematuhi undang-undang Thailand sepanjang berada di negara itu bagi mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: