FMT Reporters
Dua penumpang tercampak keluar melalui cermin belakang selepas kereta mewah itu terbabas di Lebuhraya Persekutuan.

Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat, berkata siasatan awal dapati kereta tersebut terbabas sebelum merempuh tebing dalam kejadian Lebuhraya Persekutuan di KM34 menghala ke ibu negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Dua wanita maut susulan tercampak keluar dari kereta Mercedes-Benz yang terbabas sebelum merempuh tebing di bahu kiri Lebuhraya Persekutuan di KM34 menghala ke ibu negara, awal pagi tadi.
Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, kereta berwarna emas berkenaan dipercayai dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an dan kini sedang dikesan selepas melarikan diri.
Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar 7 pagi dan siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan berkenaan kemudian berpusing dan menyebabkan dua penumpang wanita warga tempatan yang berada di bahagian belakang, masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 30-an tercampak keluar melalui cermin belakang.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menurut Bernama.
Sehubungan dengan itu, Shamsudin meminta saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik M Sivam di talian 017-329 0749 atau IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan