"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hamzah kembali ke kerusi ketua pembangkang, Muhyiddin beralih tempat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin akan kembali ke kerusi ketua pembangkang di Dewan Rakyat pada Isnin, manakala Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipindahkan, namun masih di barisan depan.

Menurut aturan tempat duduk terbaharu yang dimuat naik di laman Parlimen, Hamzah akan duduk di tempat yang lazim diduduki ketua pembangkang, menyusuli pengumuman PAS bahawa beliau dipilih semula ke peranan itu.

Kerusi di sebelah pengasas Parti Wawasan Negara itu akan diduduki Pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar, diikuti Presiden PAS Hadi Awang.

Di sebelah Hadi pula timbalan beliau, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan diikuti Ronald Kiandee, naib presiden Bersatu yang digantung keahlian.

Pada sidang Dewan Rakyat lalu, Muhyiddin duduk di sebelah Hamzah. Hamzah menggalas peranan ketua pembangkang sehinggalah Bersatu memecat keahliannya.

Pada sidang akan akan datang, bermula Isnin, Muhyiddin dan sekutunya rapat, Naib Presiden Radzi Jidin, akan duduk bersebelahan.

PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu awal bulan ini, walaupun kedua-dua parti kekal sebagai komponen PN.

Hadi kemudian mengumumkan PAS bersetuju untuk meneruskan Hamzah sebagai ketua pembangkang, seleaps mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen PAS serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Bersatu itu.

Samsuri kekal sebagai pengerusi PN. Sebelum ini Samsuri dipilih untuk menjadi ketua pembangkang, bulan lepas, namun tidak sempat melaksanakan tugas itu memandangkan Dwan Rakyat belum bersidang.

Semalam, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan, memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, bahawa 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju melantik Hamzah sebagai ketua pembangkang.

Pelajar tingkatan satu dicekik rakan berebut tempat duduk

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan satu dipercayai menjadi mangsa gangguan fizikal selepas dicekik rakannya susulan perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin sebuah sekolah di Cheras pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 April lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati insiden berlaku di hadapan koperasi sekolah dan berpunca daripada perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin antara mangsa dengan suspek yang juga pelajar lelaki tingkatan satu.

“Suspek bertindak mencekik leher mangsa dari arah belakang selain melakukan provokasi secara lisan terhadap mangsa. Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk mendapatkan rawatan pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa tiga pihak melibatkan polis, pihak sekolah dan penjaga pada 20 April lalu.

“Hasil mesyuarat tersebut, suspek telah dikenakan tindakan amaran serta penggantungan persekolahan oleh pihak sekolah. Kes kini telah selesai melalui tindakan pihak sekolah dan semua pihak yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Remaja didakwa rogol wanita berusia 61 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sandakan atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 61 tahun.

Alimanja Arioski, seorang warga asing, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sandakan, Sabah pada 21 Mac, lapor Harian Metro.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Alimanja. Hakim Roslinda Razali menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jasmin Walter, manakala Alimanja tidak diwakili peguam.

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan ke atas Alimanja, selepas mendapati dia bersalah merompak dan mencederakan terhadap mangsa dalam kejadian sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 21 Mac, dan dia dirujuk kepada imigresen selepas selesai menjalani hukuman.