Safeek Affendy Razali

Bangunan seakan flat dihuni komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.- Foto Fail NSTP
KAJANG: Warga Rohingya yang sebelum ini pernah menyewa flat haram di Sungai Tekali, Hulu Langat, di sini, mendakwa pemilik tanah sendiri yang menawarkan kediaman berkenaan kepada mereka sejak 2019.
Pemilik dilaporkan menyewakan hampir 30 unit kediaman yang didirikan secara haram dengan kadar antara RM400 hingga RM750 sebulan berdasarkan pada keluasan serta kelengkapan disediakan.
Bagaimanapun, warga Rohingya itu mula keluar dari kediaman itu selepas diserbu dalam Operasi Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada 28 Februari tahun lalu.
Seorang warga Rohingya yang pernah menyewa di kawasan itu, Husain Abdullah berkata, flat berkenaan didirikan secara berperingkat sejak 2018 oleh pemilik tanah sebelum siap sepenuhnya pada 2019.
“Pemilik mengupah pekerja kontrak warga Indonesia dan Vietnam untuk mendirikan flat ini pada bahagian depan dan belakang sehingga adanya antara 25 hingga 30 unit pintu kediaman.
“Ada unit disewakan dengan harga RM400, RM500, RM600 dan RM750 kepada warga Rohingya, termasuk saya sendiri dan pemilik memperoleh kutipan sewa lebih RM15,000 sebulan.
“Kami yang menyewa ditawarkan elektrik dan air secara percuma oleh pemilik dan saya percaya kemungkinan ia diambil secara haram dari sumber di kawasan berhampiran,” katanya kepada wartawan BH.
Husain turut memaklumkan semua penduduk di kawasan berhampiran sebenarnya sudah mengetahui mengenai kewujudan flat berkenaan yang didiami warga asing, terutama dari Myanmar selain turut mengenali pemiliknya yang juga tuan tanah di kawasan itu.
“Sebelum ini pada 2014, pemilik tanah sama turut mendirikan kediaman haram di sebelah flat berkenaan, namun kemudian merobohkannya selepas flat berkenaan siap,” katanya.
Seorang lagi warga Rohingya, Abdullah Saidurahman, berkata dia tidak bersetuju mengenai dakwaan pemilik flat berkenaan tidak mengetahui mengenai kediaman yang didiami warga asing itu.
“Memang ada dua unit kediaman disewa warga tempatan, manakala semua unit yang lain disewakan pada warga Rohingya.
“Saya ingin memberitahu pemilik tanah sendirilah yang menawarkan kediaman ini kepada kami warga Rohingya dan bukannya kami menyewa atas penyewa lain,” katanya.
Katanya, tujuannya mendedahkan perkara itu adalah untuk memperbetulkan dakwaan warga Rohingya yang mendiami flat berkenaan menyewa atas penyewa lain.
Sementara itu, tinjauan BH tengah hari semalam mendapati tiada kerja-kerja merobohkan flat haram berkenaan dilakukan seperti kelmarin.
Sejak pendedahan media, kawasan flat berkenaan turut menjadi tumpuan orang ramai, terutama dari kawasan Hulu Langat, yang ingin melihat sendiri kawasan itu yang turut tular sejak seminggu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan