Reza A Hamid

Isteri dan suami orang, Siti Iqbar Mazlan, 35, dan Hairul Mokhsin, 24, masing-masing dikenakan denda RM4,500 dan RM5,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan persetubuhan haram di sebuah rumah di alamat Kilometer 8, Kampung Sungai Putat, Batu Berendam Melaka kira-kira jam 2 pagi antara 1 hingga 30 Jun 2025.
MELAKA – “Saya mohon maaf kepada Puteri Norfatimah (Ishak) atas perlakuan sebelum ini (cuba persetubuhan haram). Saya menyesal dan tidak lagi berhubung dengan Hairul Mokhsin (suami Norfatimah).
“Saya mohon hukuman tidak dipenjarakan kerana mempunyai dua anak dan masih bersuami selain sudah menyesali perbuatan ini”.
Itu rayuan dalam tangisan oleh Siti Iqbar Mazlan, 35, di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Ayer Keroh hari ini sebelum dijatuhi hukuman denda RM4,500 atau lapan bulan penjara oleh Hakim Abu Bakar Daud.
Ia selepas ibu anak dua itu dan Hairul Mokhsin Zaini, 24, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan didapati telah melakukan percubaan persetubuhan haram yang bukan suami isteri yang sah di sisi syarak.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di alamat Kilometer 8, Kampung Sungai Putat, Batu Berendam di sini kira-kira 2 pagi antara 1 hingga 30 Jun lalu di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Seksyen itu memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dibantu Radzwan Abdullah.

Isteri dan suami orang, Siti Iqbar Mazlan, 35, dan Hairul Mokhsin, 24, masing-masing dikenakan denda RM4,500 dan RM5,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan persetubuhan haram di sebuah rumah di alamat Kilometer 8, Kampung Sungai Putat, Batu Berendam Melaka kira-kira jam 2 pagi antara 1 hingga 30 Jun 2025.
Berdasarkan fakta kes, pada pukul 12 tengah hari, 10 Jun 2026, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerima aduan awam mengenai perbuatan persetubuhan haram membabitkan sepasang lelaki dan wanita.
Susulan aduan itu, Hairul Mokhsin dipanggil memberi keterangan dan mengaku secara sukarela pernah melakukan persetubuhan haram dengan Siti Iqbar yang bukan isterinya yang sah pada Jun 2025.
Terdahulu, dalam hujah pemberatan hukuman, Wan Mahyuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh serta masyarakat Islam.
“Kes ini juga rentetan kes Mahkamah Ayer Keroh apabila isteri tertuduh (Hairul Mokhsin) telah disabitkan kesalahan kes Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang kaitan untuk menguatkan fakta kes ini.
“Ini juga kesalahan kedua dilakukan tertuduh pertama kerana sebelum ini didakwa kesalahan bersubahat bagi kes hamil luar nikah dan kesalahan itu bukan sahaja melanggar hukum syarak malah berpotensi merosakkan institusi keluarga dan hubungan suami isteri,” katanya.
Isnin lalu, Puteri Norfatimah, 25, dijatuhi hukuman denda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menyimpan dan menyebarkan video seks lelaki itu dengan wanita lain pada Disember tahun lalu.
Dalam prosiding hari ini yang turut dihadiri Puteri Norfatimah, Radzwan turut berhujah perbuatan dan perkara yang membawa kepada zina merupakan larangan agama yang sangat berat apatah lagi melibatkan pesalah suami dan isteri orang.
“Perbuatan ini amat tercela memandangkan tertuduh juga mempunyai niat yang mana ada rekod gambar yang tidak berpakaian,” katanya.
Sementara itu, Hairul Mokhsin yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam rayuannya memohon hukuman tidak dipenjarakan kerana menanggung dua anak masih kecil dan perlu menanggung isteri bekerja sebagai peniaga nasi lemak di tepi jalan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan Hairul Mokhsin dan Siti Iqbar masing-masing dikenakan denda RM5,000 dan RM4,500 atau lapan bulan penjara jika gagal membayarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan