"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terima kasih PAS kerana pecah belahkan PN - Ramasamy

Malaysiakini

Dalam satu tempelak sinis terhadap PAS, pengerusi Urimai P Ramasamy “mengucapkan terima kasih” kepada parti Islam itu kerana memecahbelahkan perpaduan gabungan Perikatan Nasional (PM).

Bekas pemimpin DAP yang keluar parti itu juga mengaitkan tindakan PAS dengan perasaan cemburu terhadap kekuatan politik Bersatu yang semakin meningkat.

Ramasamy berkata jika PN mengukuhkan diri sebagai blok pembangkang yang bersatu, gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Ramasamy menyatakan bahawa presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak dapat melihat peluang itu, yang akhirnya menjadi tamparan hebat kepada PN.

“Bak kata pepatah, sejarah tercipta bukan dalam keadaan yang kita pilih sendiri, tetapi apabila peluang datang pada saat yang tepat.

“Malangnya, PAS dengan segala retorik politiknya, gagal memahami intipati politik yang penting untuk kemenangan pilihan raya.

“Kesan daripada pemutusan hubungan dengan Bersatu, kini diragui sama ada pembangkang yang dipimpin oleh PAS boleh membuat impak besar dalam politik negara.

“Ada kemungkinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengucapkan tahniah kepada kepimpinan PAS kerana berjaya melakukan sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh Pakatan Harapan sendiri,” kata Ramasamy dalam kenyataan hari ini.

Urimai ialah sebahagian daripada Ikatan Prihatin Rakyat, sebuah pakatan longgar yang sejajar dengan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pada 9 Jun, PAS menamatkan hubungan politik dengan Bersatu.

Susulan itu, pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar menggugurkan naib presiden Bersatu Radzi Jidin sebagai pengarah pilihan raya PN dan menggantikannya dengan pengarah pilihan raya PAS Sanusi Nor.

Setiausaha agung Bersatu Azmin Ali juga digugurkan sebagai timbalan setiausaha agung PN.

PAS juga menyelaraskan dirinya dengan Parti Wawasan Negara, yang dipimpin oleh bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin, serta mahu mengangkat anggota parlimen Larut kembali sebagai ketua pembangkang.

Mengkritik pembersihan pemimpin Bersatu daripada kepimpinan PN dan pelantikan semula Hamzah, Ramasamy menuduh PAS gagal mengambil perspektif nasional dalam politik.

Sebaliknya, dia berkata PAS memilih untuk mendasarkan kekuatan politiknya pada segelintir negeri sahaja.

“Ia tersalah congak keperluan politik yang diperlukan untuk pandangan yang lebih luas dan inklusif.

“Sekiranya PAS mempunyai orientasi politik nasional yang sebenar, ia sepatutnya boleh memperbaiki hubungan dengan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, Ramasamy mengingatkan pengkritik supaya tidak memandang rendah masa depan politik Bersatu.

Tanpa perlu berhadapan dengan PAS, dia berkata Bersatu kini mempunyai peluang untuk meluaskan pengaruh politiknya.

“Politik bukan bersifat satu dimensi; ia adalah tentang bangkit daripada kemelesetan dengan kekuatan dan semangat baru.

“Dalam hal ini, Bersatu yang bebas daripada beban PAS, berkemungkinan besar akan muncul sebagai sebuah parti politik yang berbeza secara kualitatif daripada sebelumnya,” tambahnya.

Tiada ulasan: