"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gandingan PAS-Umno tak dapat dielak lepas Bersatu disingkir

Tajuddin Rasdi

Suka atau tidak penduduk Semenanjung yang membenci politik perkauman hanya mempunyai dua pilihan: PH atau Bersama walaupun parti kedua itu akan dibayangi pakatan PAS-Umno.

Hari untuk Bersatu semakin suntuk. Keputusan PAS memutuskan hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin boleh disifatkan paku terakhir pada keranda parti itu. Namun, apa pula kesannya kepada Malaysia dan PRU16?

Satu perkara yang pasti, PAS dan Umno, dua parti Melayu terbesar tahu mereka berada dalam masalah. Jika dua parti itu memutuskan bertembung sesama sendiri pada pilihan raya, kedua-duanya cukup kuat (dan cukup bodoh) untuk saling menumbangkan satu sama lain.

Prestasi suram ekonomi di negeri pimpinan PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis – yang digelar SG4 – akan tenggelam di sebalik kebangkitan ekonomi Malaysia di bawah kerajaan perpaduan Madani, yang turut dianggotai Umno.

Namun, Umno pun sedang berkira-kira untuk beralih arah: ia lebih rela menjadi kapten, berbanding menjadi kelasi kelas pertama. Memainkan peranan kedua di belakang Pakatan Harapan (PH) tidak disenangi Umno kerana sudah terbiasa berada di puncak kuasa selama enam dekad.

Parti pimpinan Zahid Hamidi itu mahu merintis jalan kembali ke puncak kuasa dan menggunakan PRN Johor serta Negeri Sembilan sebagai batu loncatan.

DUN Melaka pula akan dibubarkan menjelang akhir tahun ini dan Zahid mungkin terpaksa meninggalkan PH secara dramatik.

Gandingan PAS-Umno tidak dapat dielak lagi, tidak kira apa pun nama yang akan diberikan kepada penyatuan keduanya.

Dua parti itu mempunyai beberapa sebab bekerjasama dengan kerajaan tanpa DAP antara faktornya. Satu-satunya persoalan tinggal ialah, siapakah akan mendominasi hubungan berkenaan.

Suka atau tidak, penduduk Semenanjung yang membenci politik perkauman hanya mempunyai dua pilihan: PH atau Parti Bersama Malaysia (Bersama), meskipun parti yang kedua itu akan dengan mudahnya dibayangi pakatan PAS-Umno.

Andai rakyat Malaysia bersatu menyokong PH, diharapkan bersama Bersama sebagai rakan kongsi baharu, masih ada peluang untuk negara ini menyekat pembentukan satu pentadbiran yang hanya dianggotai orang Melayu sahaja.

Bagaimanapun, penentu sebenar adalah parti di Sabah dan Sarawak. Rakyat Malaysia Timur sememangnya sudah pun menjadi pemenang: tanpa mengira apa jua keputusannya, seorang timbalan perdana menteri pasti akan datang dari salah satu daripada dua negeri itu.

Itulah masa depan Malaysia dalam tempoh mendatang.

Namun, walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong PH-Bersama, tidak bermakna segalanya akan berjalan lancar dan sempurna di Semenanjung.

Lebih-lebih lagi, apa yang saya bimbangkan ialah keadaan akan menjadi lebih rapuh dan tidak menentu, memandangkan keghairahan PAS dan Umno akan memperalatkan isu kaum dan agama.

Sebab itulah pengundi mesti mengawal rasa tidak sabar mereka terhadap rentak reformasi dan terus menyokong PH bagi membantu menepis momokan kaum dan agama.

Jika rakyat Malaysia lebih gemar memberi tumpuan kepada kelemahan kerajaan, kita mesti bersedia menghadapi kesan buruk yang bakal dibawa gandingan PAS-Umno yang semakin kuat.

Sejauh mana cara kita mengundi akan menentukan sama ada negara ini bakal menuju ke arah masa depan lebih cerah atau ke arah kehancuran.

Tiada ulasan: