"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki hilang ditemukan meninggal dunia dalam belukar

Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dilapor hilang selepas keluar dari rumah di sebuah pangsapuri di Taman Tampoi Utama semalam, ditemui meninggal dunia di kawasan belukar berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Amimuzamam Aini berkata, mangsa berusia 37 tahun ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pihaknya menerima panggilan pada 1.28 pagi.

Katanya, sejurus panggilan, lapan anggota bersama jentera ke lokasi dan dimaklumkan oleh anggota polis bahawa mangsa dikhuatiri hilang di kawasan belukar berhampiran Jalan Sutera.

“Anggota melaksanakan pemantauan awal bagi menilai keadaan dan risiko, namun operasi pencarian tidak dapat dilaksana segera berikutan keadaan gelap dan tidak selamat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, SAR bermula apabila keadaan cerah, dengan dua pasukan pencarian dibentuk terdiri daripada enam anggota bomba dan empat polis.

“Pencarian bermula dari simpang lokasi kenderaan mangsa (diletakkan) hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera dan kawasan sekitarnya.

“Mangsa kemudian ditemui berhampiran pokok, kira-kira 30 meter dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, anggota membawa keluar mayat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu katanya, kehilangan mangsa disedari pada 6 petang semalam dan ahli keluarga melaporkan kepada polis kerana bimbangkan keselamatan mangsa.

Difahamkan, ibu mangsa menemui kesan darah di bilik mandi dan bilik mangsa sebelum mendapati dia hilang.

Menurutnya, operasi itu kemudiannya ditamatkan pada 11.08 pagi.

Tiada ulasan: