"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki terkena renjatan 25kV ketika cuba curi kabel

MOHD. FAHMI ISMAIL
Lokasi seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik 25kV ketika cuba mencuri kabel pagi tadi. Foto KTMB
PETALING JAYA – Cubaan seorang individu untuk mencuri kabel di bawah sebuah jambatan berhampiran landasan kereta api berakhir dengan tragedi apabila dia terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik pada rangkaian tren pagi tadi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian pada pukul 6.08 pagi itu mengakibatkan gangguan bekalan kuasa (tripping) di laluan antara Tasek Gelugor dan Sungai Petani di Kilometer 32.500.

KTMB berkata, siasatan awal mendapati gangguan tersebut berpunca daripada cubaan mencuri kabel oleh individu yang menceroboh kawasan infrastruktur rel.

“Bagaimanapun, tindakan itu mengakibatkan individu terbabit terkena renjatan elektrik 25 kilovolt (kV) atau flashover ketika menggunakan peralatan yang tidak sesuai berhampiran sistem bekalan kuasa landasan.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kata KTMB, perbuatan menceroboh dan mencuri komponen infrastruktur kereta api bukan sahaja satu kesalahan serius, malah boleh mengancam nyawa serta menjejaskan keselamatan dan kelancaran operasi tren.

Menurut syarikat itu, sistem bekalan kuasa landasan membawa voltan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian dalam sekelip mata.

“Justeru, infrastruktur rel bukan kawasan untuk diceroboh atau dijadikan sasaran kegiatan jenayah,” jelasnya.

Tambah KTMB, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: