"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu Toyota Camry lawan arus tersepit selepas bertembung lori

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta yang melawan arus dan sebuah lori di Kilometer 54.7 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak di Bentong malam, semalam.
BENTONG – Gara-gara dipercayai memandu melawan arus, seorang lelaki cedera selepas kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya melanggar lori di Kilometer (KM) 54.7, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini, semalam.

Sebuah video tular memaparkan kereta yang dipandu laju lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu melawan arus sebelum melanggar bahagian hadapan lori yang berada di lorong kanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Syed Moshen T. Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.20 malam dan kemalangan melibatkan lori jenis Isuzu dengan kereta Toyota Camry.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kereta. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alat pemotong hidraulik dan unit kuasa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, kesesakan teruk yang berpunca akibat tindakan pemandu berhenti untuk melihat kejadian menghalang kelancaran pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian. Jentera tersebut tiba di lokasi pada pukul 10.03 malam.

Tambah beliau, anggota bomba terpaksa turun dari jentera dan berjalan sejauh 200 meter dengan membawa peralatan menyelamat selain meminta pemandu lori mengalihkan kenderaan masing-masing.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada pukul 10.29 malam dan operasi menyelamat tamat pada pukul 10.56 malam. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: