FMT Reporters
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin akan kembali ke kerusi ketua pembangkang di Dewan Rakyat pada Isnin, manakala Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipindahkan, namun masih di barisan depan.
Menurut aturan tempat duduk terbaharu yang dimuat naik di laman Parlimen, Hamzah akan duduk di tempat yang lazim diduduki ketua pembangkang, menyusuli pengumuman PAS bahawa beliau dipilih semula ke peranan itu.
Kerusi di sebelah pengasas Parti Wawasan Negara itu akan diduduki Pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar, diikuti Presiden PAS Hadi Awang.
Di sebelah Hadi pula timbalan beliau, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan diikuti Ronald Kiandee, naib presiden Bersatu yang digantung keahlian.
Pada sidang Dewan Rakyat lalu, Muhyiddin duduk di sebelah Hamzah. Hamzah menggalas peranan ketua pembangkang sehinggalah Bersatu memecat keahliannya.
Pada sidang akan akan datang, bermula Isnin, Muhyiddin dan sekutunya rapat, Naib Presiden Radzi Jidin, akan duduk bersebelahan.
PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu awal bulan ini, walaupun kedua-dua parti kekal sebagai komponen PN.
Hadi kemudian mengumumkan PAS bersetuju untuk meneruskan Hamzah sebagai ketua pembangkang, seleaps mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen PAS serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Bersatu itu.
Samsuri kekal sebagai pengerusi PN. Sebelum ini Samsuri dipilih untuk menjadi ketua pembangkang, bulan lepas, namun tidak sempat melaksanakan tugas itu memandangkan Dwan Rakyat belum bersidang.
Semalam, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan, memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, bahawa 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju melantik Hamzah sebagai ketua pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan