Agensi
Seattle: Mohamed Salah berpotensi melakukan pusingan U dan terus kekal bersama Liverpool berdasarkan dakwaan mengejutkan yang dibuat rakan sepasukannya dalam skuad Mesir.
Salah, 33, mengumumkan pada Mac lalu bahawa dia akan meninggalkan Anfield sebagai ejen bebas selepas sembilan tahun penuh gemilang yang menyaksikannya memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, dua Piala Liga dan Liga Juara-Juara Eropah 2019.
Bagaimanapun, pemain sayap itu melalui musim yang mengecewakan bersama The Reds apabila dia mendakwa pengurusan kelab 'mengorbankannya' serta mendakwa tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus ketika itu, Arne Slot.
Namun, rakan sepasukannya dalam skuad Mesir, Ahmed El-Shenawy, mencetuskan spekulasi baharu mengenai masa depan Salah.
Salah kini bersama skuad kebangsaan Mesir bagi menghadapi kempen Piala Dunia 2026 dan sedang membuat persiapan menjelang aksi pertama menentang Belgium pada awal pagi Selasa ini.
El-Shenawy, 35, mendakwa bekas bintang Roma itu masih berkemungkinan kekal bersama Liverpool meskipun sudah mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong tiga bulan lalu.
Penjaga gol Pyramids FC itu turut berkata bekas pemain Chelsea berkenaan sendiri masih belum mengetahui hala tuju kariernya dan kemungkinan meninggalkan Liverpool selepas bertahun-tahun berkhidmat memberi kesan dari segi emosi.
"Prospek meninggalkan Liverpool memberi kesan kepada Mo dari sudut psikologi, tetapi keadaan mungkin berubah dan dia masih boleh kekal bersama pasukan.
"Malah dia sendiri memberitahu saya bahawa dia masih tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depannya," kata El-Shenawy.
Perubahan pengurusan di Liverpool selepas pemergian Slot dan pelantikan Andoni Iraola sebagai pengurus baharu turut dilihat mengubah situasi di kelab itu.
Salah pula baru-baru ini mengakui dia tidak akan membuat keputusan muktamad mengenai masa depannya sehingga kempen Piala Dunia bersama Mesir berakhir.
"Saya mempunyai masa sekarang. Saya akan ke Piala Dunia dan selepas itu semuanya akan menjadi lebih jelas.
"Tetapi jika ada peluang yang baik sebelum itu, saya akan membuat keputusan. Jika tiada, saya akan membuat keputusan selepas Piala Dunia," katanya.
Salah menyertai Liverpool dari Roma pada 2017 dan mencipta rekod cemerlang dengan menjaringkan 257 gol serta menghasilkan 123 bantuan jaringan dalam 442 penampilan.
Pencapaian itu menjadikannya penjaring terbanyak Liverpool dalam sejarah EPL.
- hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan