SITI NUR ZAWANI
Pengumuman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sepertinya ‘memecat’ Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dari jawatan Ketua Pembangkang, menimbulkan persoalan besar tentang siapa sebenarnya Pengerusi Perikatan Nasional.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, tidak pernah dalam sejarah Malaysia Ketua Pembangkang hanya bertahan selama 28 hari sahaja, malah kredibiliti Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang tidak pernah teruji pun di dalam Parlimen.
Menurut beliau, tilikan Syahir Sulaiman bahawa Ahmad Samsuri akan menjadi Ketua Pembangkang sekejap sahaja memang tepat.
Tetapi bezanya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal sebagai Perdana Menteri di saat Ahmad Samsuri hilang jawatan tersebut.
“Sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini bahawa penyelesaian hubungan Pas-Bersatu akan menjadi kayu pengukur kepada kewibawaan Pengerusi PN.
“Namun, dengan pengumuman tersebut, jelas Ahmad Samsuri gagal mengemudi PN dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Faiz menyifatkan Ahmad Samsuri hanyalah seorang “lame duck chairman” dan boneka kepada Presiden Pas, sekali gus menunjukkan PN bukan gabungan yang stabil.
“Rakyat tidak boleh yakin kepada PN untuk memerintah negara kerana ketidakstabilan yang wujud, dan episod hitam ketika PN memerintah negara dahulu susulan Langkah Sheraton akan berulang kerana kerapuhan koalisi ini.
“Lebih parah lagi, situasi ini sangat bahaya kepada negara jika PN memerintah negara kerana setiap keputusan kerajaan boleh ditentukan dan boleh diubah oleh Presiden Pas,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan