"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita didakwa simbah sebaldi najis ke arah jiran kerana cemburu

Agensi

Florida: Hanya kerana cemburu, seorang wanita didakwa sanggup membawa baldi berisi najis manusia sebelum menyimbah kandungannya ke arah jirannya, lapor Benin Web TV.

Suspek, Yirsi Esperanza Machado Rivera, 50, ditahan selepas kejadian pada 7 September dan berdepan pertuduhan menceroboh kediaman berpenghuni serta mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan laporan penahanan yang dipetik NBC Miami dan People, kedua-dua wanita berkenaan tinggal di unit bersebelahan dalam treler rumah di Royal Country Mobile Homes, bahagian barat laut Miami-Dade County.

Machado Rivera didakwa mengetuk pintu rumah jirannya sebelum menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.

Suspek kemudian didakwa menceroboh masuk ke kediaman berkenaan tanpa kebenaran sebelum menolak penghuni terbabit.

Penyiasat mendakwa Machado Rivera selepas itu menyimbah kandungan baldi berkenaan ke arah mangsa. Seorang saksi dilaporkan memberitahu polis bahawa suspek menyatakan dia menyediakan bekas itu untuk menyimbah kandungannya ke muka mangsa.

Bagaimanapun, Machado Rivera menafikan dakwaan berkenaan ketika disoal siasat dengan mendakwa menggunakan baldi itu kerana tandas rumahnya rosak dan cuba membuang kandungannya selepas menerima aduan mengenai bau busuk.

Suspek turut menafikan menceroboh rumah jirannya atau menyimbah kandungan baldi itu ke arah mangsa selain mendakwa kepalanya dipukul menggunakan kayu pemukul ketika pertengkaran berlaku.

Machado Rivera dihadapkan ke hadapan Hakim Mindy Glazer pada 8 September sebelum majistret memerintahkan dia ditahan tanpa jamin serta melarang sebarang hubungan dengan pengadu.

Machado Rivera masih berada dalam tahanan sehingga 13 September di Pusat Tahanan Turner Guilford Knight, menurut rekod dalam talian yang disemak People.

Semua dakwaan terhadapnya masih berupa pertuduhan dan tidak membuktikan kesalahannya, manakala suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
-hmetro

Buang puntung rokok, lelaki Indonesia dipenjara sebulan

Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Indonesia menjadi individu pertama di Malaysia yang dikenakan hukuman penjara akibat kesalahan membuang puntung rokok.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad berkata, pekerja am kontraktor berusia 36 tahun itu membuat kesalahan pembuangan sisa kecil (PSK) di sekitar kawasan Stulang pada Februari lepas.

Bagaimanapun, individu itu dipenjara sebulan bermula 28 Ogos selepas gagal membayar denda berjumlah RM1,000 yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Selepas menjalani hukuman penjara, individu ini akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan PKM Siri Ke-50 hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 107 kes melibatkan PKM telah diselesaikan di mahkamah membabitkan 59 warga tempatan dan 48 warga asing setakat ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan denda yang dikenakan mencecah RM71,550 dengan tempoh PKM antara dua hingga 10 jam.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 3,358 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di Johor dengan 3,095 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan.

“Sehingga kini, sebanyak 789 kertas siasatan juga telah dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan membuang sisa kecil di tempat awam merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM sehingga enam bulan. Ketidakpatuhan terhadap arahan PKM pula boleh dikenakan tindakan lanjut termasuk denda maksimum RM10,000.

JAIM siasat video tular pasangan 'bermanja' di kedai makan

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
FOTO tular
Melaka: Aksi 'manja' pasangan berpelukan di sebuah kedai makan di Malim Jaya, di sini, yang tular di media sosial sejak semalam disiasat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan itu, termasuk status hubungan mereka.

"Pihak JAIM akan meneliti perkara ini dengan mengenal pasti pasangan terbabit terlebih dahulu, termasuk status hubungan mereka.

"Pada masa sama kita akan lihat sama ada perlakuan dalam video itu mempunyai unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam yang boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang syariah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sekiranya pasangan terbabit suami isteri sekalipun, perlakuan sedemikian tetap tidak wajar dipamerkan secara terbuka kerana perlu menjaga adab dan kesopanan.

"Perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991," katanya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 11 saat tular memaparkan seorang lelaki melentokkan kepala di bahu wanita sebelum kepalanya dirangkul dan dibelai mesra ketika berada di premis awam.

Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan sebahagian netizen mengecam tindakan itu, selain turut mempersoalkan kesesuaian aksi terbabit dilakukan di tempat awam.

Selain itu, terdapat dakwaan pasangan terbabit adalah pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di sekitar Malim Jaya, namun perkara itu belum dapat disahkan.