"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib dijemput hadiri debat isu Melayu P Pinang

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 4 Mac:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut dijemput menghadiri debat perdana bertajuk ‘Isu Melayu-Islam Pulau Pinang: Antara Provokasi & Kebenaran’ di Pulau Pinang pada 7 Mac ini.

Ini berikutan Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetap akan menganjurkan debat perdana berhubung dakwaan Melayu terpinggir biarpun ketiga-tiga pihak yang dijemput berdebat dengan mereka belum memberi respons positif.

Pihak-pihak tersebut adalah Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Norman Zahalan, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim.

Siang tadi Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Rizal Hamid ke Ibu Pejabat Umno di ibu negara menyerahkan surat makluman debat sekaligus menjemput Najib yang juga Presiden Umno, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan ketua penerangannya, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican sebagai tetamu kehormat program tersebut.

Turut mengiringi serahan tersebut, ahli Majis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shahrin.

Surat berkenaan bagaimanapun hanya diserahkan melalui pegawai bertugas di pejabat pergerakan tersebut di bangunan PWTC Kuala Lumpur.

Debat Perdana Rakyat 2010 bertajuk “Isu Melayu-Islam Pulau Pinang: Antara Provokasi & Kebenaran” akan diadakan pada 7 Mac bermula 8.45 malam di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Pada sidang media selepas itu, Badrul berkata debat berkenaan akan tetap diadakan kerana segala persiapan sudah dibuat.

"Debat tidak boleh dielak lagi, persiapan lojistik dan kerjasama dengan kerajaan negeri, dengan banyak NGO telah dilakukan," katanya.

Ditanya kenapa debat berkenaan menjemput Norman, Rizal Faris dan Jais, beliau berkata kerana ketiga-tiga mereka adalah yang paling lantang menghentam kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perkara itu.

Selain itu mereka juga melahirkan kekesalan dengan tindakan Norman mengoyak surat jemputan debat yang dihantar dua minggu lalu.

Sehingga kini belum ada sebarang jawapan dari ketiga-tiga pihak terbabit untuk menyahut cabaran debat tersebut.

Bagaimanapun Badrul berkata, pihak sekretariat optimis sekurang-kurangnya mereka menghantar wakil untuk berdebat.

Tiada ulasan: