"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Veteran’ bekas PKR dianggap musuh masa depan negara

Dzulfikar Mashoor
PETALING JAYA, 4 Mac:
Wakil-wakil rakyat muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap beberapa wakil rakyat `veteran’ yang keluar daripada parti itu dan Pakatan Rakyat sebagai musuh pada masa depan negara dan mengkhianati harapan rakyat.

“Tindakan mereka tidak peduli malam sesungguhnya memusuhi masa depan negara dan rakyat. Mereka telah mengkhianati harapan rakyat biasa di Malaysia yang memilih (mereka yang terbabit) untuk perubahan dua tahun lalu,” jelas Adun Batu Caves, Amirudin Shari selaku jurucakap bagi wakil rakyat muda PKR itu dalam suatu sidang media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Menurut beliau lagi, tindakan mereka yang terbabit meninggalkan parti itu bukanlah disebabkan dasar parti yang tidak adil.

Sebaliknya, beliau mendakwa insiatif mereka yang terbabit keluar dari parti itu disebabkan masalah yang terlalu peribadi, yang bukan menjurus pada kepentingan rakyat.

Ekoran itu, beliau bersama-sama 11 wakil rakyat belia PKR menganggap pemimpin-pemimpin veteran PKR terbabit sebagai ‘biawak-biawak hidup’.

Disebabkan tindakan keluar dari parti itu, Amiruddin turut menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat sedang menilai ‘biawak-biawak hidup’ terbabit.

“Mereka mengisytiharkan diri mereka bebas, sedangkan semua (rakyat) melihat mereka sedang bergantung dengan corak rasuah dan pendekatan kuno masa lalu.”

“Dengan memilih tindakan jahat ini, mantan pimpinan Keadilan yang bertindak keluar parti ini memilih untuk terus memandang ke belakang,” jelasnya

Tambahnya lagi, walaupun mungkin akan ada lagi wakil rakyat veteran meninggalkan PKR kelak, beliau menegaskan bahawa wakil rakyat belia dari parti tersebut tetap berikrar untuk tidak meninggalkan parti tersebut serta tidak akan mengkhianati muafakat Pakatan Rakyat.

“Kami (wakil rakyat belia) tetap tidak akan patah balik dan kami mahukan perubahan, kamu mahu berkhidmat kepada rakyat dan kami kamu terus dipercayai oleh rakyat dan Pakatan Rakyat,” jelasnya lagi.

Sebagai wakil rakyat berusia belia, beliau bersama-sama 11 wakil rakyat belia PKR yang lain turut menyatakan sikap terbuka untuk menerima nasihat, saranan dan kritikan daripada rakyat asalkan agenda selamatkan tanah air dari kepincangan kerajaan Umno/BN boleh direalisasikan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Selain beliau, 11 lagi wakil rakyat belia PKR mengumumkan tidak meninggalkan parti pada majlis itu ialah Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Amran Ghani (Ahli Parlimen Tanah Merah), S. Manikumar (Adun Bukit Selambau merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah), Gan Pei Nei (Adun Rawang), Yunus Jamhari (Adun Kuala Kurau), Chang Lih Kang (Adun Teja), Chan Ming Kai (Adun Simpang Pulai), Sim Tze Tzin (Adun Pantai Jerejak), Kesavan (Adun Hutang Melintang) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia).

Turut menyertai mereka ialah Yusmadi Yusoff walaupun Ahli Parlimen Balik Pulau itu telah pun menyatakan pendirian untuk tidak meninggalkan PKR pada suatu kenyataan akhbar petang semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, 12 Ahli Parlimen yang tidak berjawatan penting dalam PKR petang semalam turut menjelaskan pendirian yang sama, iaitu tidak meninggalkan parti itu serta kekal menjadi wakil rakyat bagi Pakatan Rakyat.

Manakala, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, iaitu tiga pemimpin yang dianggap veteran sebelum ini telah pun mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dalam perkembangan yang lain, pergolakan dalaman yang dipercayai umum didalangi oleh Umno itu dikatakan akan berterusan sehingga BN mendapat dua pertiga suara majoriti di Parlimen kelak.

Dengan adanya dua pertiga representasi tersebut, Umno/BN seperti dipercayai umum boleh membuat persempadanan semula Parlimen dan Dun, sebagaimana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan, sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan masa PRU13 kelak.

Tiada ulasan: