"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS cabar Mufti Perak terjun politik, jangan perlekeh Pakatan

PAS mencabar Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria meletakkan jawatannya untuk bergiat aktif dalam politik termasuk bertanding pilihan raya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan memperlekehkan kerjasama Pakatan Rakyat.

“Saya mencabar Tan Sri Harussani meletakkan jawatan sebagai mufti dan beliau secara langsung terlibat dalam politik,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.Sambil menyifatkan Harussani sepatutnya memahami persekitaran kerjasama sebelum 8 Mac 2008, Mahfuz berkata, PAS tidak wajar memutuskan hubungan yang telah dijalin bersama komponen Pakatan Rakyat.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku itu (perbincangan selepas pilihan raya umum).

“Tetap yang penting, bolehkah kita yang ada Pakatan Rakyat, menyertai pilihan raya secara bersama dengan mereka, jatuh bangun dan susah payah menghadapi pilihan raya... tidak boleh mengkhianati semangat setiakawan yang telah dibentuk,” kata Mahfuz.

Mahfuz memberitahu Harussani sebagai mufti seharusnya faham dalam Islam juga tidak digalakkan memungkiri janji kerjasama yang telah dijalin dengan DAP dan PKR.

Malah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Harussani tidak menghalalkan unsur-unsur rasuah yang didakwa diamalkan oleh kalangan pemimpin BN-Umno.

Sehubungan itu, Mahfuz juga menambah bahawa kelihatan masih ada usaha di kalangan Umno dan BN termasuk menggunakan mufti untuk melakukan usaha ‘menarik’ wakil-wakil rakyat.

Kata beliau, ia menunjukkan Umno-BN terus berada dalam suasana cemas untuk mendapatkan kuasa dengan menarik sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat.

BN mengambil alih kerajaan negeri Perak pada Februari 2009 ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti dan sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas mesra BN.

Mahfuz mengulas kenyataan Harussani mendakwa PAS bersikap angkuh dengan menolak syor agar dibentuk kerajaan campuran di negeri itu pada 2008.

Beliau menceritakan keangkuhan PAS Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata beliau apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan BN, Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang terus berkata pihaknya tidak akan bersekongkol dengan orang Umno yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir yang dirujuk kepada DAP.

Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud PAS akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina.

“Kenapa PAS tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

?”Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,” katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi PAS telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa, PAS Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka.

“Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat,” katanya.

Bagaimanapun kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dengan menteri besar dari PAS hanya bertahan 10 bulan.

Ia digulingkan apabila tiga Adun Pakatan Rakyat keluar PKR dan DAP, sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: