"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kahwin muda: Asri setuju, mufti Selangor kata jangan suka-suka

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pendekatan kahwin awal tidak harus dihalang kerana ia tidak bertentangan dengan lunas agama Islam, malah perlu jika seseorang itu sudah insaf dan mampu.

Mengulas mengenai keputusan Majlis Agama Islam Melaka membenarkan pelajar bawah umur berkahwin, Asri tidak menyatakan bantahan, malah memberitahu tiada had umur berkahwin dalam Islam kecuali seseorang itu sudah matang atau akil baligh serta tahu membezakan baik dan buruk.

“Tujuan had umur berkahwin adalah untuk elakkan eksploitasi tapi harus ada kes-kes khas dari sudut pentadbiran. Bila sudah mengandung, siapa nak bertanggungjawab?” ujar beliau.

Malah katanya, adalah lebih adil membenarkan seseorang itu berkahwin atas dasar keinsafan daripada menghalang mereka.

“Semasa di Perlis, saya pernah fatwakan, boleh dinasabkan anak itu kalau gadis yang mengandung berkahwin dengan orang yang berzina dengannya” katanya.

Mengulas mengenai stigma masyarakat Malaysia terhadap penzina, Asri (gambar) memberitahu, dosa perasuah adalah lebih besar berbanding orang berzina kerana penzina hanya melakukan dosa terhadap diri sendiri sedangkan perasuah menzalimi hak orang lain.

Beliau turut menyokong penuh keputusan Melaka untuk membuka sekolah khas bagi pelajar hamil di Jasin.

“Itu satu pendekatan Islam yang baik. Yang penting pendidikan,” ujar beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Di Malaysia, kita sensitif dengan zina, tapi bukan rasuah. Orang yang bersalah rasuah pun di sini orang masih sambut dan sokong,” tegas beliau.

“Kita kena perbaiki keadaan. Masyarakat mesti pandang serong perasuah lebih dari penzina” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid menegaskan, matlamat perkahwinan seseorang haruslah jelas dan mengikut lunas agama dan bukannya untuk suka-suka.

Menurut beliau, tujuan perkahwinan dalam Islam adalah untuk melahirkan keluarga bahagia dan beriman bagi menjamin kesejahteraan.

“Perkahwinan dalam Islam terdiri dari beberapa kategori iaitu harus, wajib, makruh, san haram selain hukum asalnya, sunat,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perkahwinan awal, beliau menyatakan ia perlu mengikut kemampuan pasangan tersebut mengemudi bahtera berkahwinan dan bukan untuk keseronokan semata.

“Dalam Islam ada syarat tertentu untuk jadi suami dan isteri,” katanya.

“Bersediakah mereka nak pikul beban? Tepuk dada, tanya iman, bukan selera,” ujar beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau menyokong pendidikan mengenai seks seperti yang didedahkan dalam subjek biologi tetapi hanya sebagai teori dan tidak harus diikut dan dipraktis di luar kelas.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Abdul Ghani Shamsuddin menganggap pendekatan “mencegah lebih baik dari mengubati” adalah jalan terbaik dalam mengatasi masalah zina dan keruntuhan moral di kalangan remaja masa kini.

Beliau menganggap isu kahwin awal kerana mengandung merupakan natijah daripada cara hidup tidak mengikut hukum agama.

“Jika kita lihat dari sudut (akses) bahan lucah, rencana seks, pendedahan, sekolah bercampur dan galakkan pergaulan bebas memang berlaku,” katanya.

Beliau juga tidak ada masalah dengan resolusi Majlis Agama Islam Melaka yang menggalakkan remaja yang mampu untuk berkahwin kerana tidak melanggar syarak tetapi keputusan ini harus dilihat secara menyeluruh dan meliputi semua aspek.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: