"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Liwat: Karpal Mohon Hakim Berundur Dan Saksi Dikena Tindakan


KUALA LUMPUR, 23 NOV: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan permohonan melucutkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Zabidin Mohd Diah daripada perbicaraan kerana terus bersikap berat sebelah dan menghalang peguambela mendapatkan nota-nota pemeriksaan doktor ke atas pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Selain itu, peguam Karpal Singh akan memohon supaya pakar perubatan Dr Siew Sheue Feng dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana cuba menyembunyikan dokumen yang penting untuk pembelaan Anwar.

Zabidin akan mendengar kedua-dua permohonan itu esok pagi.

Anwar melahirkan rasa kesal terhadap keputusan-keputusan Zabidin yang dilihat berat sebelah sepanjang perbicaraan dan memihak kepada pendakwaraya, walaupun ia jelas bercanggah dengan prosedur undang-undang.

"Peguam telah memberi maklum bahawa kita akan mengemukakan permohonan supaya hakim menarik diri kerana berpuluh-puluh kes kita asyik diketepikan semua undang-undang dan hanya memihak kepada pendakwa. Beberapa kenyataan dia (Zabidin) nampak jelas tidak berlaku adil. Jadi ini akan dilakukan esok," jelas Anwar.

Pada hari ini Zabidin sekali lagi melarang peguambela daripada mendapatkan dokumen pemeriksaan awal daripada pakar-pakar yang memberi keterangan.

Dokumen itu mempunyai banyak maklumat yang tidak terkandung dalam laporan perubatan yang dikemukakan oleh pendakwaraya kepada mahkamah.

Anwar berkata ada cubaan jelas melindungi maklumat nota perubatan pengadu Saiful Bukhari Adzlan, khususnya apabila pakar Patologis Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng memberi keterangan hari ini.

Walaupun gagal memberi jawapan tepat kepada soalan-soalan Karpal, Dr Siew enggan untuk merujuk kepada nota-nota yang diambil oleh beliau ketika memeriksa Saiful untuk memberi keterangan.

Ini kerana jika beliau berbuat demikian, peguambela boleh memohon untuk mendapatkan nota-nota. 

Bagaimanapun semasa waktu rehat, Dr Siew mengaku ada merujuk kepada nota-notanya. Anehnya sebaik sahaja perbicaraan bersambung, beliau enggan berbuat demikian.

"Kenapa ...takut mengenai kepada nota-nota ini," tanya Karpal. Namun pakar perubatan itu tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Karpal kemudian berkata Dr Siew harus dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana merujuk kepada nota-nota itu waktu rehat walaupun beliau sebelum itu memberitahu mahkamah tidak akan berbuat demikian.

Beliau akan memohon supaya Hakim Zabidin mengenakan tindakan itu kerana jelas ada cubaan untuk menyembunyikan maklumat daripada peguambela.

Karpal juga menegur Zabidin kerana terus menafikan hak peguambela untuk mendapatkan nota-nota pemeriksaan awal doktor yang cukup relevan kepada perbicaraan.

Peguam veteran itu berkata Zabidin hanya membuang masa mengambil keterangan doktor jika tidak mahu melihat sendiri nota-nota yang diambil oleh doktor dalam memberikan keterangan mereka di mahkamah.

Perbicaraan tegang seketika apabila Anwar, peguam Karpal Singh dan Sankara Nair bertikam lidah dengan pendakwaraya Yusuf Zainal Abiden. Anwar menuduh Zainal sebagai bertindak keterlaluan dalam usaha untuk menghalang dokumen-dokumen tertentu daripada dikemukakan kepada mahkamah.

Menyifatkan prosiding kes sebagai sabotaj, Anwar berkata tingkah laku Dr Siew hari ini jelas membuktikan cubaan nyata untuk menyembunyikan nota-nota awal pemeriksaan terhadap Saiful.

"Jadi pada pendapat saya ialah memang ada cubaan tidak mendedahkan maklumat yang benar. Kalau dia buat nota masa pemeriksaan Saiful, mengapa dia takut beri keterangan. Ini isu asas dalam undang-undang. Anda buat keterangan, anda buat cacatan. Dua bulan kemudian anda buat laporan. Sebahagian itu diserahkan, tapi catatan bermati-matian dihalang oleh pendakwa daripada dikemukakan," tegas beliau lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan: