"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu KP JKR: Judin Terima Jawatan CEO CIDB



PUTRAJAYA, 3 OGOS: Kemelut dua nakhoda di Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkompromi dengan menawarkan Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim, gred dan gaji lebih tinggi untuk dipinjamkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai Ketua Eksekutif, berkuat kuasa semalam.

Beliau yang sebelum ini Ketua Pengarah Kerja Raya dengan Gred Jusa A kini dinaikkan ke Gred Utama Turus II. Lazimnya, Ketua Eksekutif CIDB ditawarkan Gred Jusa A.

Berikutan kompromi itu, Judin mengesahkan beliau akan menarik balik saman yang difailkan terhadap kerajaan tiga minggu lalu.

Difahamkan gred yang ditawarkan itu juga lebih tinggi daripada beberapa Ketua Setiausaha (KSU) di beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Belia dan Sukan, lapor Berita Harian Online.

CIDB membuat tawaran itu menerusi surat kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bertarikh 22 Julai dan tempoh pinjaman bermula semalam sehingga tarikh akhir persaraan wajib Judin pada 16 Disember 2013.

Abu Bakar yang ditemui pada majlis menandatangani surat penerimaan oleh Judin di sini, semalam, berkata Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bersetuju meluluskan tawaran CIDB dengan gred itu kepada Judin.

“Tanggungjawab besar menanti beliau di CIDB dan kita yakin pengalamannya membolehkan beliau memikul tugas baru ini dengan baik dan berkesan,” katanya kepada Berita Harian pada majlis yang turut dihadiri Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan wakil lima kesatuan sekerja di bawah CUEPACS.

Kemelut jawatan Ketua Pengarah Kerja Raya timbul apabila Judin dipinjamkan ke CIDB dan tempatnya digantikan Timbalan Ketua Pengarah II, Datuk Mohd Noor Yaacob pada 1 Mei lalu. Bagaimanapun, beliau tidak mengosongkan pejabat, walaupun Mohd Noor sudah menjalankan tugas, sehingga menimbulkan kontroversi.

Difahamkan, pada masa itu, proses peminjaman bercanggah dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008, Bahagian II Perkara 4(a) untuk sektor awam. Pekeliling itu menetapkan peminjaman pegawai memerlukan persetujuan tiga pihak, iaitu peminjam (CIDB), pembekal (JKR) dan pegawai terbabit terlebih dulu, sebelum dikemukakan kepada JPA dan dirujuk kepada SPA yang kemudian mengemukakan cadangan serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Di KUALA LUMPUR, Judin yang melaporkan diri di CIDB kira-kira jam 3.40 petang disambut lebih 10 kakitangan dan lima wakil kesatuan sekerja dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bersama CUEPACS.

Ketika ditemui, Judin berkata, gembira kerana kemelut itu sudah berakhir dan percaya ia tidak akan menjejaskan tugas barunya.

“Hari ini, saya terima tawaran itu dan diarahkan untuk bertugas serta-merta. Saya turut ditawarkan dengan gaji baru ke Gred Utama Turus II.

“Saya anggap perkara ini sudah selesai. Fokus saya kini hanya memajukan industri pembinaan yang dapat memberi pulangan lumayan kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Omar yang ditemui gembira dan lega kerana kemelut yang meresahkan kakitangan JKR berakhir dengan baik.
-tvsnews-

Tiada ulasan: