"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak luar nikah boleh mewarisi harta

Ahmad Fuad Yahya
JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada Jumaat membuat satu keputusan penting yang memberi hak hubungan darah dan hubungan sivil dengan bapa dan keluarga bapa, kepada anak-anak yang lahir di luar pernikahan rasmi dan yang lahir di luar nikah.

Ia sekaligus memberi mereka hak kepada harta pusaka bapa mereka, dengan syarat hubungan pertalian darah itu dapat dibuktikan secara saintifik atau alat bukti yang dibenarkan oleh undang-undang.

Status itu diperoleh apabila Mahkamah Perlembagaan memansuhkan satu seksyen dalam Undang-undang Perkahwinan 1974, yang menyatakan bahawa anak-anak yang lahir di luar perkahwinan hanya mempunyai hubungan sivil dengan ibu dan keluarga ibu mereka.

Dalam keputusan itu, sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan bersetuju bahawa artikel itu tidak berpelembagaan.

“Saya ingin menekankan bahawa sejak pukulan tukul (keputusan) hari ini, anak yang lahir di luar perkahwinan rasmi, baik itu kahwin siri (pernikahan secara agama yang tidak didaftarkan), perselingkuhan, atau hidup serumah tanpa nikah, adalah mempunyai hubungan darah dan hubungan sivil dengan bapanya,” kata Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia Mahfud MD.

Keputusan itu dibuat berikutan permohonan kajian semula undang-undang yang dikemukakan seorang penyanyi dangdut Machica Mochtar atau Aisyah Mochtar, yang mempunyai anak hasil perkahwinannya dengan Moerdiono, seorang bekas menteri di era Orde Baru atau pemerintahan Soeharto, namun pernikahannya itu hanya secara agama dan tidak didaftarkan secara rasmi.

Mereka bernikah pada tahun 1993 tetapi bercerai pada 1998.

Moerdiono meninggal dunia pada Oktober tahun lepas, namun keluarga bekas suaminya itu dilaporkan menolak sebarang hubungan dengan anaknya yang bernama Muhammad Iqbal Ramadhan itu.

Machica mengemukakan permohonan itu kerana berasa dirugikan, khususnya untuk mendapatkan status undang-undang untuk anaknya.
-Bernama-

Tiada ulasan: