"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRU13: Pas sahkan pilih Salahuddin ke Johor

Pesuruhjaya-Pas-Johor,-Datuk-Dr-Mahfodz-Mohamed
SENAI: Pas Johor mengesahkan khabar angin bahawa Naib Presidennya, Salahuddin Ayub bakal menyertai persaingan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sambil menekankan, ia sebahagian daripada strategi mereka mahu bertapak di selatan Semenanjung.


Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, idea itu telah dicadangkan oleh beliau kepada pimpinan pusat agar dapat memberi suntikan ke atas kepimpinan negeri memecahkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

“Memang itu idea saya, kita pilih Salahuddin sebab dia merupakan anak jati Johor dan banyak memberi sumbangan dalam perkembangan politik di negeri ini.

“Malah, dia juga merupakan antara pemimpin tertinggi Pas di peringkat pusat dan dikenali ramai, baik dari kalangan kawan mahupun lawan.

“Tetapi bukan dia saja... kita juga alu-alukan anak kelahiran Johor lain yang juga berada di pusat, misalnya Mazlan Aliman (AJK Pas Pusat),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian Online awal minggu lalu, Salahuddin berkata, beliau akan menjawab teka-teki negeri dan kawasan yang akan ditandinginya akhir bulan ini.

Ketika ditanya sama ada akan keluar dari Kelantan kali ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini hanya berkata: "Itu tunggulah. Bila sampai masa, saya akan adakan sidang media untuk menyatakan di mana saya akan bertanding."

Pengumuman itu akan dibuat dalam beberapa minggu lagi.

Salahuddin mengakui beliau secara peribadi sudah memutuskan kerusi yang hendak ditandingi.

Banyak pihak membuat andaian Parlimen akan dibubarkan bulan ini.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Selain dicalonkan oleh Pas kawasan Kubang Kerian, beliau juga dirisik agar bertanding di bahagian Parlimen Pasir Mas di Kelantan dan Titiwangsa (Wilayah Persekutuan).

Beliau mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti Jun lalu.

Dalam responsnya, Mahdfodz juga berkata, strategi berkenaan menunjukkan komitmen dan kesungguhan kepimpinan Pas untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan mengambil alih kerajaan negeri.

“Saya percaya Umno sekarang dah mula rasa risau dan tergugat kerana bukan calang-calang pemimpin yang akan bertanding di Johor.

“Kita juga sedang memperkukuhkan barisan kepimpinan dan sedang mencari orang mungkin dari kalangan Perkasa, orang-orang kerajaan, tentera dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Mazlan pula berkata, penyertaan Salahuddin bersama kepimpinan Pas Johor dalam PRU13 merupakan tindakan tepat dan bakal mewujudkan persaingan seimbang antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

“Kita amat mengalu-alukan beliau kerana Salahuddin telah sedia dikenali masyarakat setempat di Johor.

“Jika sebelum ini Johor dikenali sebagai kubu kuat BN tapi bagi saya itu, adalah 20 tahun dahulu kerana sekarang sudah wujud peluang yang seimbang kepada PR,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penyertaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dalam PRU13, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan pusat.

“Sama ada bertanding atau tidak, itu bergantung kepada pimpinan pusat, kita hanya akur,” katanya.

Tiada ulasan: