"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kita bertuah jika ramai macam Timmy Say - Subky Latif

Subky Latif
KETIKA Umno hendak menyingkirkan Tun Datu Mustapa sebagai Ketua Menteri Sabah, semua Umno dam media di Kuala Lumpur mengutuknya, partinya USNO dan kerajaan pimpinannya. Saya yang tidak mengenalinya menulis elok tentangnya.

Taib Mahmud belum lagi jadi Ketua Menteri Sarawak memberi tahniah pada saya atas ulasan itu. Ia menyenangkan hati orang Sabah. Katanya, “Kata orang Sabah, ‘Ada juga orang Kuala Lumpur sayangkan orang Sabah.’”

Saya terbaca komen Timmy Say tentang ulasan Lim Guan Eng terhadap PAS dan Presidennya. Dari komen pemimpin DAP itu terasa seolah-olah tiada lagi tempat di hati penyokong Pakatan Rakyat yang bukan Islam khususnya terhadap PAS dan pemimpinnya sekalipun PAS tidak bertempur dengan DAP dalam krisis Menteri Besar Selangor.

Komen Timmy Say amat adil. Sejuk hati saya. Reaksi saya, ada juga orang bukan Islam yang memahami sikap PAS atas isu bersama dan keterampilan masing-masing dalam muafakat Pakatan Rakyat. Tidaklah dia menyokong PAS dalam isu krisis MB itu tetapi dia amat objektif tentang peranan masing-masing dalam Pakatan Rakyat dan tidak menyalahkan PAS atas sikapnya dan perkembangan beberapa bulan lalu.

Padanya kira-kira PAS ada hak untuk menentukan sikapnya dan tidak wajar pihak lain memaksanya mengikut sikap mereka. Wajarlah semua pihak menghormati sikap dan pandangan pihak lain.

Saya juga mengikuti beberapa komentar Timmy Say yang lain hubungan parti-parti kerabat Pakatan Rakyat terutama antara PAS dan DAP. Semua tulisannya adalah menyiram air ke atas bara, bukan menyiram minyak bagi menyalakan bara.

Krisis di Selangor sudah selesai. Pihak yang bertikai wajar merapatkan semula segala sendi Pakatan yang longgar. Bukan menggunakan minyak yang naik harga itu untuk membakar hangus Pakatan Rakyat.

Tidak pernah PAS menyatakan ia mahu meninggalkan Pakatan dan ia tidak pernah mencabar orang lain supaya meninggalkan Pakatan. Tetapi kenyataan Guan Eng itu seolah-olah PAS sudah tidak berguna lagi bagi Pakatan Rakyat dan PAS seolah-olah sudah tidak ada lagi dalam hati penyokong Pakatan khususnya yang bukan Islam.

Syukur PAS tidak melenting, bersabar dan bersikap diam adalah sikap orang-orang yang bijaksana.

PAS mengaku ia memerlukan sokongan dan penerimaan masyarakat bukan Islam, kerana waqi’ kemajmukan Malaysia meletakkan perlu memerlukan antara satu sama lain adalah rukun terbaik bagi masa depan yang damai.

Berbalah dengan DAP boleh mengurangkan penerimaan masyarakat bukan Islam kepada PAS dan boleh melambatkan perubahan dan cita-cita mewujudkan kerajaan tata urus tadbir yang baik. Kelambatan itu tidak sekadar mengencatkan politik PAS, tetapi paling malang ialah rakyat yang tertindas. Rakyat terpaksa tertindas lebih lama.

Dalam suasana keliru itu Timmy Say muncul dengan pandangan yang rasional. Ada juga orang bukan Islam dapat menyejukkan suhu pemikiran PAS. Jika PAS tidak diterima langsung oleh semua bukan Islam, penampilan baik daripada Timmy Say itu ada juga orang Cina dan India dapat menimbangkan perlunya PAS mesti kekal dalam Pakatan.

Negara kita bertuah jika kita dapat ramai seperti Timmy Say dalam DAP, dalam PKR, bahkan dalam PAS sendiri kita perlu orang seperti Timmy.

Pada peringkat awal perkembangan Islam di Mekah dulu, ada yang tidak Islam membela Rasulullah SAW seperti Abu Talib dan Abas bin Abdul Mutalib. Macam simpati yang pada Timmy Say itu. Saidina Abas kemudiannya beriman, Abu Talib tidak. Apapun, masyarakat semua masa dan semua golongan tetap beruntung adanya warga seperti Timmy.

Tiada ulasan: