"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru berdepan 14 pertuduhan cabul lima pelajar

SEORANG guru sekolah rendah di Serian didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini dengan 14 pertuduhan mencabul kehormatan lima pelajar bawah umur antara Mei dan Ogos tahun ini.

Lai Chee Hiang, 37, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan.

Tiga pertuduhan dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun di pejabat hal ehwal pelajar sekolah berkenaan di Serian dekat sini dalam tempoh itu.

Dia turut berdepan tiga pertuduhan menyentuh alat sulit mangsa di sebuah bilik darjah di sekolah sama dalam tempoh sama, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Seksyen 14 (a) akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 377B Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan ketujuh, Lai didakwa menyentuh alat sulit seorang lagi pelajar lelaki berusia 11 tahun, bagi tujuan seksual, di dalam bilik stor di sekolah sama dalam bulan Ogos, manakala pertuduhan kelapan merujuk kepada kesalahan sama membabitkan seorang pelajar lelaki berumur 10 tahun, di bilik darjah sekolah sama dalam bulan sama.

Bagi pertuduhan kesembilan dan ke-10, Lai mengaku tidak bersalah menyentuh alat sulit seorang lagi pelajar lelaki berumur 10 tahun, bagi tujuan seksual, di sebuah bilik darjah di sekolah sama dalam bulan sama.

Pertuduhan ketujuh, kelapan, kesembilan, ke-10 dan ke-13, dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, manakala pertuduhan ke-11, ke-12 dan ke-14 dibuat mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, manakala peguam KC Wong yang mewakili Lai berhujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya adalah kesalahan yang boleh dijamin.

Hakim Shafiza Abdul Razak Tready tidak membenarkan Lai diikat jamin dan berkata tarikh perbicaraan akan ditetapkan apabila kes itu disebut di Kompleks Mahkamah Samarahan di Kota Samarahan pada 25 Oktober.
-Bernama

Tiada ulasan: