"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita ditemui mati berlumuran darah di hotel bajet

Kuala Lumpur – Seorang wanita yang dipercayai warga asing ditemui mati berlumuran darah di sebuah hotel bajet di Kampung Baru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mayat wanita tersebut ditemui pada pukul 1.30 petang semalam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua lelaki yang dipercayai warga asing telah mendaftar masuk di hotel tersebut bersama mangsa. Sebaik mendaftar, salah seorang suspek masuk ke bilik bersama mangsa manakala seorang lagi pergi ke lobi hotel.

“Kira-kira pukul 12.55 tengah hari, suspek didapati keluar dari hotel tersebut dan pihak hotel yang berasa curiga masuk ke bilik mereka dan mendapati mangsa sudah mati terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Identiti mangsa masih belum dikenalpasti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sukri menambah, hasil siasatan yang dilakukan pihaknya telah menahan salah seorang suspek di kawasan Chow Kit di sini manakala seorang lagi masih bebas dan usaha mengesan masih diteruskan.

“Siasatan yang dijalankan oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap tubuh mangsa mendapati adanya kesan luka disebabkan tikaman di bahagian kiri lehernya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur di sini untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di talian 03-2697 7099 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
-Kosmo

Tiada ulasan: