"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berhimpunlah kamu dalam Malaysia Baru

Syahredzan Johan
Maka berakhirlah perhimpunan anti-Icerd yang dianjurkan oleh badan-badan NGO dan disokong oleh dua parti pembangkang paling besar di Malaysia.

Perhimpunan jalanan pertama setelah terbentuknya kerajaan baru selepas 9 Mei 2018 telah berlangsung dengan jayanya.

Saya ada sedikit pengalaman sebagai peguam pemerhati semasa perhimpunan aman.

Saya ingat lagi, bagaimana di hadapan mata saya seorang demonstran yang berlari, tersungkur dan kemudian ditahan beberapa anggota polis semasa Bersih 2.0.

Saya juga ada sedikit pengalaman sebagai peguam mereka yang ditahan polis semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, menunggu di hadapan Pulapol selama berjam-jam, untuk dibenarkan masuk berjumpa tahanan-tahanan ketika Bersih 3.0.

Hak berhimpun secara aman

Saya juga ada sedikit pengalaman membawa kes di mahkamah untuk menegakkan hak berhimpun dengan aman.

Dan saya sendiri juga pernah menjadi seorang demonstran dalam perhimpunan aman.

Oleh itu, apabila saya melihat gambar-gambar 70,000 hingga 80,000 demonstran membanjiri Kuala Lumpur pada hari ini, tanpa apa halangan atau sekatan dan dibantu oleh pihak berkuasa sebagai pemudahcara, saya berasa amat puas hati.

Bukan sebab saya sokong perhimpunan anti-Icerd ini. Langsung tidak! Tetapi saya menghormati hak untuk berhimpun. Kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun dalam sejarah negara Malaysia ini, perhimpunan jalanan sentiasa dihalang. Hak yang termaktub, bagaikan ilusi.

Saya ingat lagi, himpunan-himpunan jalanan mega sebelum ini. Betapa rakyat dihalang masuk ke Dataran Merdeka. Betapa individu-individu tertentu ditahan sebelum perhimpunan.

Diangkut ke Pulapol

Betapa amaran-amaran dikeluarkan dan demonstran ditomah dan dicerca. Betapa gas pemedih mata dan meriam air jadi sajian.

Betapa para demonstran ditahan dan diangkut ke Pulapol. Betapa mereka yang ditahan, dilanjutkan reman. Betapa mereka kemudian di dakwa di Mahkamah.

Ingat lagi roadblock yang dikenakan ke atas kenderaan-kenderaan yang masuk ke dalam Kuala Lumpur?

Ingat lagi-lagi bagaimana baju berwarna kuning diharamkan?

Ingat lagi 6 pemimpin PSM ditahan sebelum Bersih 2.0 di bawah Ordinan Darurat?

Ingat lagi Maria Chin Abdullah yang ditahan bawah SOSMA semasa Bersih 5?

Ingat lagi mahasiswa-mahasiwa yang dikenakan tindakan atas sebab menyertai ‘perhimpunan haram’?

Ingat lagi yang luka, yang rebah, yang naik dan turun mahkamah?

Peristiwa-peristiwa ini, pengorbanan-pengorbanan ini, telah menyumbang kepada apa yang berlaku pada hari ini.

Kejayaan perhimpunan jalanan, tanpa ada sekatan, halangan atau tangkapan ini harus menjadi peringatan kepada kita tentang apa kita perjuangkan selama ini

Semangat Malaysia baru

Sebuah negara yang mana rakyatnya bebas mengamal hak dan kebebasan mereka.

Sebuah negara yang kerajaannya bukan setakat membenarkan demonstrasi, membantu perjalanannya tetapi juga mengucapkan selamat maju jaya kepada demonstran.

Inilah semangat Malaysia Baru.

Malaysia Baru bukan bermakna hanya yang menang saja boleh berdemonstrasi tanpa halangan.

Malaysia Baru adalah negara di mana yang tidak menang dan yang menentang, boleh juga berdemonstrasi tanpa halangan.

SYAHREDZAN JOHAN ialah setiausaha politik anggota parlimen Iskandar Puteri.

Tiada ulasan: