"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH buat jelajah pertama selepas menang PRU14

MALAYSIADATELINE 
Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya mengadakan program Jelajah Malaysia Baharu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Program Jelajah Malaysia Baharu yang akan berlangsung pada malam esok, 25 Ogos di Dataran Harapan Stargate Alor Setar dijangka akan dibanjiri lebih 10,000 penyokong dan rakyat negara ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyampaikan amanat penting mengenai pentadbiran negara termasuk menyentuh mengenai janji yang dibuat melalui manifesto sebelum PRU14 lalu.

Pengarah program, Dr Abdul Rahman Ahmad, berkata Kedah terpilih menjadi negeri pertama menganjurkan program jelajah ini.

“Matlamat program ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai isu berkaitan Malaysia Baharu yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri sendiri selain amanat penting untuk rakyat Kedah memahami proses peralihan pentadbiran baharu.

“Ia termasuklah penjelasan mengapa ada janji yang dibuat sebelum ini terpaksa ditunda…akan ada penjelasan mengenai manifesto termasuk isu tol dan penghapusan hutang FELDA.

“Secara kebetulan, Kedah menjadi negeri pertama pelaksanaan program ini yang akan turut menjelajah ke seluruh negara selepas ini, ” katanya dipetik NSTP.

Program Jelajah Malaysia Baharu dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam di perkarangan Pejabat PH Kedah dengan kehadiran pemimpin utama PH termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Menteri Pertahanan yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Abdul Rahman, yang juga Ketua Sekretariat PH Kedah berkata, empat pemimpin utama PH termasuk Dr Mahathir sendiri masing-masing akan diberikan peluang berucap pada program berkenaan.

Tiada ulasan: