"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat dakwaan remaja diheret ke balai dalam but kereta polis

Faisal Asyraf
Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang remaja lelaki dipaksa masuk ke dalam but sebuah kereta peronda polis setelah ditahan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) di Sungai Petani, Kedah.

Ketua Polis Kedah Zainuddin Yaacob memberitahu Malaysiakini bahawa Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kelima-lima anggota polis berkenaan.

“Polis mengesahkan kejadian. Siasatan dalaman sedang dijalankan. Jika ia benar-benar berlaku, tindakan akan diambil ke atas anggota yang terlibat,” katanya.

Pada 23 April lalu, Ahmad Radhi Bashizan, 19, membuat laporan polis terhadap kelima-lima mereka.

Remaja yang sedang pulih selepas menjalani pembedahan dan menggunakan tongkat itu mendakwa bahawa anggota polis memaksanya dan seorang rakannya masuk ke dalam but kereta dan dibawa ke sebuah pondok polis.

Dari pondok polis itu, remaja itu kemudiannya dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, yang terletak lebih kurang 20 kilometer jaraknya dan bermalam di sana.

Semasa di IPD Kuala Muda, dia tidak mengaku melakukan sebarang kesalahan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dengan syarat akan hadir ke mahkamah pada 29 April ini.

Kesnya itu diketengahkan oleh kumpulan NGO, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) yang juga memetik Ahmad Radhi sebagai mendakwa bahawa dia terpaksa menahan kesakitan dan mengadu sesak nafas semasa berada di dalam but kereta polis tersebut.

EDICT juga mendakwa bahawa polis tidak membenarkan lelaki itu menggunakan tongkat ketika berada di bawah tahanan.

Difahamkan, Ahmad Radhi ditangkap bersama rakannya yang berusia 23 tahun di taman permainan berhampiran rumahnya.

Tiada ulasan: