Mohd Ishak Abdillah Ngah
am@hmetro.com.my
Dungun: Taktik licik sepasang suami isteri menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut seorang warga emas membawa padah apabila mereka dikepung dan ditangkap penduduk kampung di Felda Rasau Kerteh 3, di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.
Kejadian bermula apabila mangsa, Mariani Ismail, 64, menerima panggilan video daripada suspek yang menyamar dengan memakai pakaian seragam pasukan keselamatan berlatarbelakangkan visual menyerupai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Mangsa yang berada dalam keadaan panik dan ketakutan akibat diugut serta dituduh dengan dakwaan palsu menyerahkan tiga utas barang kemas miliknya bernilai ribuan ringgit pada 6 November lalu.
Bagaimanapun, tindakan berani pasangan suspek yang kembali semula ke rumah mangsa hari ini untuk menuntut wang tunai tambahan berjumlah RM50,000 akhirnya membuka ruang kepada mereka untuk ditangkap.
Menyedari ditipu dalam insiden pertama, Mariani membuat laporan polis, sekali gus membolehkan ahli keluarga dan penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengesan pergerakan suspek.
Suami mangsa, Zakaria Ibrahim berkata, suspek pada mulanya bertindak berhati-hati dan enggan masuk ke dalam rumah.
"Suspek sebaliknya mengarahkan wang tunai RM50,000 berkenaan diletakkan di dalam peti surat di hadapan rumah saya.
"Bagaimanapun saya mengumpan suspek dengan meminta mereka mengambil sendiri wang itu di dalam kereta," katanya.
Strategi berkenaan ternyata membuahkan hasil apabila kedua-dua suspek segera dikepung oleh penduduk kampung yang sudah bersiap sedia menunggu di kawasan sekitar perkarangan rumah mangsa.
"Dua suspek warga asing itu dipercayai sudah menggadai barang kemas isteri saya di sebuah kedai emas di Kuala Lumpur dengan nilai gadaian hampir RM13,000.
"Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi membantu siasatan. Difahamkan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Dungun esok," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan