"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Azmin pengkhianat, tetapi ini bukan peribadi

Di sebalik apa yang berlaku, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau tidak menaruh sebarang perasaan dendam terhadap bekas timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Ketika pada tahun 1998, Anwar dan Azmin adalah sekutu yang menubuhkan parti itu bersama.

Bagaimanapun, hubungan mereka kemudiannya menjadi renggang dengan ketara dan ini menyaksikan parti itu terbelah dua.

Pada Februari tahun ini, Azmin mendalangi kudeta politik yang dinamakan sebagai "Langkah Sheraton” yang menutup terus peluang Anwar menjadi perdana menteri kelapan dan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Azmin kemudiannya dipecat dari PKR dan memilih untuk bergabung dengan Bersatu dan sejak itu dilantik sebagai menteri kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional.

Ketika ditanya pada wawancara pagi ini, jika beliau kecewa dengan Azmin, Anwar menganggap tindakan bekas timbalannya itu sebagai satu "pengkhianatan" tetapi dirinya tidak menaruh dendam.

"Saya telah lama dalam politik, saya banyak kali diserang.

"Bagi saya, ini bukan peribadi," katanya kepada stesen radio BFM.

Anwar juga disoal jika PKR mempunyai sebarang rancangan dalam pemilihan pemimpin pelapisnya.

Veteran berusia 72 tahun itu berkata, beliau akan menyerahkan kepada parti untuk memutuskan siapa yang bakal menggantikannya.

"Itu harus diputuskan oleh parti, bukan saya. Kita harus membiarkan pucuk pimpinan membuat keputusan,” katanya.

Anwar memberi jawapan yang sama ketika diasak sekiranya Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution atau anaknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, adalah calon yang berpotensi.

"Nurul Izzah tentunya hanya fokus pada Permatang Pauh," katanya.

Tiada ulasan: