"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

GLC Terengganu: Pas menang, orang luar senang?

ARIF ATAN
Naib Pengerusi AMANAH Terengganu, Hasbie Muda membidas kerajaan negeri apabila terus membisu berhubung pelantikan ‘orang luar’ dalam sejumlah syarikat milik kerajaan negeri (GLC).

Menurutnya, pelantikan beberapa orang luar Terengganu di GLC dan agensi kerajaan negeri Terengganu semakin heboh diperkatakan.

“Menteri Besar terus membisu. Exco juga membisu.

“Nama Raja Idris Raja Kamaruddin adik blogger Raja Petra Kamaruddin sehingga kini terus diperkatakan dan ianya masih belum dijawab oleh kerajaan. Jaga berbelas GLC.

“Apa tiadakah anak negeri yang layak?” soal Penyelaras Pakatan Harapan (PH) DUN Paka itu.

Untuk rekod, Idris juga merupakan salah seorang penasihat bagi isu-isu korporat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini.

Hasbie turut menyifatkan pelantikan orang luar bagi sejumlah GLC di negeri itu sebagai bercanggah dengan prinsip ketiga Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 berkenaan kekayaan untuk rakyat.

“Ingatkan untuk rakyat Terengganu. Rupa-rupanya rakyat luar,” tempelak Hasbie yang juga bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada mantan Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu lagi.

Bulan lalu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam GLC Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu mendedahkan terdapat individu yang tidak mempunyai rekod baik di Kelantan dan pernah dipecat dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Menurutnya, individu terbabit mendapat gaji RM800,000 setahun iaitu kira-kira RM67,000 sebulan dengan dilantik menjadi pengerusi di sebuah syarikat, 11 pengarah dan turut menjadi penasihat.

Beliau juga mendedahkan seorang warganegara England merujuk kepada Idris pula dilantik menjadi pengerusi di enam buah syarikat dan pengarah di enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

Ahmad berkata, ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini, paling banyak seorang individu dilantik memegang tiga jawatan dalam GLC.

Walau bagaimanapun, seorang pemimpin Pas yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada 13 Ogos lalu mempertahankan kemampuan Idris menerajui banyak jawatan penting dalam GLC negeri itu.

Menurutnya, Idris melepaskan gaji bernilai jutaan setahun untuk kembali ke Terengganu bertugas membantu Abdul Hadi yang menjadi Menteri Besar bagi memulihkan TDM Berhad pada 1999 dengan gaji yang jauh lebih kecil berbanding sebelumnya kerana akur dengan arahan Abdul Hadi.

Tiada ulasan: