"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR cabar Wan Saiful bertanding di Selangor

ARIF ATAN

PKR Selangor mencabar Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk bertanding di negeri Pakatan Harapan (PH) itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, Wan Saiful perlu berbuat demikian sekiranya Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu benar-benar hebat.

Beliau berpendapat pengundi Selangor menolak pengkhianat PH termasuk Wan Saiful yang sebelum ini bertanding di Parlimen Pendang tetapi kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya cabar DWSWJ (Datuk Wan Saiful Wan Jan) untuk turun bertanding di negeri Selangor dan nyatakan di mana sekiranya beliau benar-benar seorang jagoan. 

“Jika sejarah menunjukan yang rakyat Pendang telah menolak tubuh yang bernama DWSWJ, apatah lagi rakyat Selangor yang sememangnya benci dengan mereka yang telah khianat kepada parti,” tempelaknya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Wan Saiful kalah di kerusi Parlimen Pendang pada PRU-14 dalam pertembungan empat penjuru dengan hanya mampu memperoleh 14,901 undi.

Kerusi P.011 Pendang dimenangi calon Pas, Awang Solahudin dengan majoriti 5,808 undi.

Kelmarin, Wan Saiful yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai kekuatan mencukupi untuk mengambil alih kerajaan Selangor pada PRU-15. 

Katanya, peluang PN amat cerah dan persediaan di peringkat PN sudah lama dilakukan bagi merampas kerajaan negeri Selangor.

Sehubungan itu, Halimey menegaskan bahawa pola pengundian adalah jauh berbeza antara Selangor dan Kedah, khususnya di Pendang.

“Sewaktu bertanding di Pendang, Wan Saiful hanya mampu meraih 14,901 undi dan menduduki tempat ketiga daripada empat orang calun.

“Walaupun ketika itu gelombang momentum untuk perubahan sangat kuat, namun Wan Saiful tidak berupaya untuk memperoleh kemenangan.

“Fakta ini menunjukkan yang Wan Saiful bukanlah individu yang cerdik untuk menilai politik Selangor kerana dia sendiri tersungkur di kerusi berhampiran kampung halamannya,” kata Halimey.

Jelasnya, Pakatan Rakyat memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-12, diikuti 44 kerusi pada PRU-13 dan 51 kerusi pada PRU 2018.

“Ini jelas menunjukkan sokongan dan keyakinan rakyat Selangor kepada kerajaan Pakatan Harapan semakin meningkat dan mantap.

“Walaupun beberapa kerusi telah dicuri oleh mereka yang tiada maruah, namun kerajaan Selangor dengan jumlah 41 kerusi pada hari ini masih lagi berdiri kukuh,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: