"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kompaun RM50,000: ‘Seolah otak di lutut’, pembaca berita dipuji orang ramai

FAZLI RADZI

Penyampai berita Astro Awani, Luqman Hariz berkenaan kompaun RM50,000 terhadap penjual burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir di Kota Bharu, dua hari lalu dilihat menarik perhatian orang ramai.

Rata-rata warganet memuji dan meluahkan rasa puas hati dengan ayat ‘sentap’ tersebut. Malah ada yang menyifatkan anggota polis yang mengeluarkan kompaun tidak munasabah itu akan rasa tidak tenang sepanjang hayat kerana berbuat zalim.

“Sekarang ini ramai yang hidup secara ala kadar. Ketika otak yang letaknya di atas, tapi ada yang bertindak seolah-olah otak di lutut.

“Mengenakan kompaun RM50,000 pada penjaja kecil yang hanya berniaga di kawasan kampung sendiri, usaha itu dibuat kerana ada yang menanggung sehingga 11 sekeluarga,” kata Luqman dalam slot berita Awani 7.45.

Seorang pembaca berita wanita kemudiannya menyambung dengan membandingkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap selebriti jutawan, Neelofa dan ahli keluarganya.

“Tidak seperti selebriti Neelofa, jumlah kompaun RM60,000 mungkin bukan jumlah yang besar baginya. Polis bagaimanapun tampil memberi jaminan semua peniaga kecil itu boleh mengemukakan rayuan,” katanya.

Sedutan berita itu kemudiannya tersebar di media sosial ketika orang ramai tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat berat sebelah.

Tiada ulasan: