"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Exco Terengganu cuba lari tanggungjawab, tunding jari ke pihak lain, dakwa senator

BORHAN AHMAD

Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr Alias Razak didakwa cuba lari dari tanggungjawabnya dengan menunding jari kepada pihak lain apabila gagal menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Senator Datuk Raja Bahrin Shah berkata, ekoran itu beliau akan merujuk dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Alam Sekitar Terengganu itu kepada peguam beliau.

“Dr Alias jangan cuba lari dari tanggungjawab sendiri dan cuba memfitnah dan menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan MB dan Exco yang tidak bersedia mengambil berat masalah rakyat.

“Saya telah merujuk kepada peguam untuk langkah seterusnya setelah difitnah kerana bersuara untuk rakyat yang diabaikan Exco dan MB di bulan Ramadan yang mulia ini,” kata Raja Bahrin dalam satu kenyataannya hari ini.

Dua hari lepas (28 April), pembeli rumah di sebuah projek perumahan di Kampung Gong Chempedak, Marang yang terbengkalai bersama dengan Raja Bahrin telah membuat demo di depan Pejabat Menteri Besar Terengganu bagi menuntut agar nasib mereka dibela.

Tindakan membuat demo ini dilakukan setelah sekian lama mereka berusaha mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri, termasuk tiga pucuk surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga merupakan Adun kawasan mereka,  tidak dilayan.

Ekoran demo itu, kerajaan negeri bertindak serta merta dengan memanggil kontraktor projek terlibat dan berjanji akan memulakan projek itu selepas raya ini.

JALANKAN TUGAS

Projek perumahan yang terbengkalai di kawasan Dun Rhu Rendang yang diwakili MB Terengganu. Selepas campurtangan Raja Bahrin, projek ini akan disambung semula selepas Aidil Fitri nanti.

Menurut Raja Bahrin, sebagai Senator, menjadi tanggungjawab beliau membantu rakyat yang memohon pertolongan tidak kira mereka dari mana sekalipun apakan lagi yang berasal dari Terengganu.

“Saya telah didatang wakil 120 pembeli suatu projek perumahan di Marang yang terbengkalai begitu lama dan telah bermasalah beberapa tahun.

“Mereka telah 3 kali menulis surat kepada Menteri Besar Terengganu, iaitu pada 15 Julai 2020, 16 Disember 2020 dan 1 April 2021, tanpa menerima apa apa jawapan,” beritahu bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Katanya, mereka juga telah mengadu kepada Exco Kerajaan Tempatan tetapi tidak mendapat perhatian yang sepatutnya padahal projek tersebut terletak di kawasan Menteri Besar di Marang.

Projek ini juga dibina di atas tanah kerajaan negeri yang dipajakkan selama 99 tahun oleh kerajaan negeri Terengganu kepada pihak swasta.

“Kerana itu mereka mengadu masalah kepada saya,” kata Raja Bahrin.

Setelah menerima aduan wakil pembeli dan memberi pandangan beliau, Raja Bahrin juga membuat kenyataan mengesa kerajaan memberi perhatian sepatutnya kerana mereka terpaksa terus membayar pinjaman perumahan di antara RM400 hingga RM900 sebulan sambil terpaksa juga membayar sewa tempat tinggal di antara RM300 hingga RM700.

Bagi golongan B 40 dan M 40 ini adalah suatu bebanan yang amat tinggi untuk di tanggung tanpa mengetahui bilakah rumah yang dibeli akan siap, katanya.

Dua hari lepas Raja Bahrin menyertai mereka berdemo di depan pejabat Menteri Besar sebelum menyerahkan memorandum agar masalah mereka diselesaikan.  Pada sebelah petangnya, Dr Alias mengumumkan projek ini akan disambung semula selepas hari raya Aidil Fitri berdasarkan pertemuan beliau dengan pemaju perumahan berkenaan.

DAKWA PROJEK TERBENGKALAI

Pada 25 April 2021, Dr Alias Razak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Alam Sekitar telah membuat kenyataan menyatakan, bahawa kononnya projek berkenaan telah terbengkalai sejak tahun 2013 tetapi tiada tindakan oleh kerajaan persekutuan meskipun pada tahun 2018 Raja Bahrin, adalah Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan yang boleh menyelesaikan masalah yang menyebabkan rakyat terus sengsara.

“Pertamanya, sebenarnya pada 2013 projek tersebut maseh lagi belum bermula pun tetapi ianya hanya bermula pada tahun 2016 dan dijadual siap pada 2018. Dr Alias Razak telah tersalah fakta projek dalam negeri beliau sendiri,” katanya.

Keduanya, kata Raja Bahrin, sebagai Timbalan Menteri KPKT, kementerian beliau menerima beribu aduan seluruh Malaysia dan beliau akan memberi perhatian sepatutnya jika ianya di sampaikan kepada pengetahuan untuk perhatian beliau sendiri.

“Dalam isu projek perumahan ini di Gong Chempedak Marang, ianya tidak pernah di bawa kepada pengetahuan saya baik oleh Dr Alias sendiri atau pembeli yang hanya bertemu saya buat pertama kali pada April 2021,” katanya lagi.

Dr Alias berjumpa dengan Raja Bahrin ketika beliau Timbalan Menteri KPKT.

Sebenarnya, kata Raja Bahrin, Dr Alias ada datang dengan bersama beberapa orang lain bertemu beliau beberapa kali di pejabat KPKT untuk minta beliau membantu kelulusan beberapa projek baru di antaranya di Kemaman dan Besut.

“Tidak pernah sekali pun baik secara rasmi atau tidak rasmi projek di Marang tersebut atau projek sakit lain di Terengganu ditimbulkan. Beliau hanya berminat menumpu perhatian perbincangan kepada projek yang baru yang dipohon untuk dilaksanakan.

“Saya telah memberi kerjasama dan projek projek tersebut telah diluluskan,” kata Raja Bahrin lagi.

Oleh itu, katanya, kalau isu tersebut tidak pernah di bawa ke pengetahuannya bagaimana beliau boleh membantu satu projek kerajaan Terengganu yang bukan projek KPKT sementara wujud beribu ribu lagi projek lain dari Perlis sampai ke Sabah di bawah KPKT.

“Tuduhan Dr. Alias saya telah tidak membantu dan menyebabkan “pembeli terus sengsara” adalah satu tuduhan berniat jahat,” katanya.

Malahan, katanya, beliau telah memberi segala kerjasama untuk membantu mendapatkan kelulusan cepat projek projek baru di Kemaman dan Besut yang dibawa ke pengetahuan beliau yang di pohon oleh Dr. Alias semasa beliau dalam kerajaan dahulu.

“Jika Dr Alias menuduh saya, yang sebelum ini tidak dimaklumkan masalah pembeli, kononnya menyebabkan pembeli terus sengsara, bagaimana pula sikap MB yang langsung tidak menjawab 3 pucuk surat dari pembeli projek dalam kawasan sendiri dan tidak bersedia berjumpa pembeli untuk menerima memo dari mereka, tetapi pada hari yang sama boleh menerima jersi bola di majlis dengan wakil FAM?” tanya beliau.

Tiada ulasan: