"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak puas hati kereta dibaiki masih rosak, lelaki bakar mekanik

Bernama

Mangsa berusia 37 tahun berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. (Gambar PDRM)

PARIT: Seorang mekanik melecur 46% bahagian tubuhnya selepas terkena semburan api aerosol yang dinyalakan oleh abang pelanggannya yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya, dalam kejadian di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Barudin Wariso berkata, dalam kejadian 8 malam itu, mangsa berusia 37 tahun tersebut didatangi oleh suspek yang menyuarakan rasa tidak puas hati kereta Proton Perdana milik adiknya masih rosak sekalipun telah berkali-kali dibaiki.

“Tercetus pergaduhan mulut di antara mangsa dan suspek berusia 50 tahun tersebut di hadapan rumah mangsa sebelum suspek dipercayai meminta seorang lagi lelaki yang datang bersamanya membeli sebotol petrol yang kemudian dituang ke atas kepala mangsa,” kata beliau.

Menurut Barudin, suspek kemudian menyalakan penyembur api namun api tersebut menyambar mangsa, menyebabkan mangsa terbakar.

Suspek dan adiknya kemudian bertindak memadamkan api pada badan mangsa menggunakan air daripada paip di luar rumah mangsa sebelum menghubungi seorang lagi lelaki berumur 30 tahun untuk membawa mangsa ke Hospital Changkat Melintang dengan upah sebanyak RM100.

Barudin berkata, mangsa yang ditinggalkan begitu sahaja di hospital tersebut kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Susulan itu, polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian, termasuk adik suspek yang berusia 42 tahun.

Menurut beliau, seorang daripada suspek turut mempunyai kesan terbakar di tangan kanan, manakala ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” kata beliau.

Tiada ulasan: