"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ajak isteri rakan lakukan seks, lelaki ditikam tombak sawit

FMT Reporters

PETALING JAYA: Gara-gara mengganggu sehingga mengajak isteri rakannya melakukan hubungan seks, seorang lelaki warga Indonesia ditikam dengan tombak sawit sebelum mayatnya dibuang ke longkang dalam kawasan ladang sawit di Lawas, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Lawas, Roslan Leman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Imran, 40-an, ditemui orang awam dalam keadaan mayatnya dibalut dengan kanvas pada jam 9.30 pagi kelmarin.

“Siasatan lanjut berjaya mengesan dan menangkap suspek yang juga rakan senegara mangsa berusia 32 tahun di kuarters Ladang Trusan, Kumpulan Kris Jati, Jalan Sundar di sini, 12.10 tengah hari, hari yang sama mayat ditemui,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Roslan berkata, hasil soal siasat suspek mengaku bergaduh dengan mangsa pada Isnin lalu berpunca daripada mangsa yang selalu mengganggu sehingga kali terakhir mengajak isterinya melakukan hubungan seks.

“Suspek mengaku bertindak seorang diri dengan bersenjatakan tombak sawit untuk menikam mangsa sehingga mati, kemudian membalut mayat menggunakan kanvas, memikul mayat seorang diri dan membuangnya ke lokasi penemuan mayat,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun lokasi sebenar pergaduhan sedang dikenal pasti dan pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati kesan tetakan di bahagian dahi, telinga, leher, belakang badan, lutut kiri dan pergelangan tangan putus.

“Suspek dan mangsa juga pendatang asing tanpa izin (PATI), di mana suspek datang ke Malaysia kira-kira enam bulan lalu melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas membawa bersama dua anaknya berusia 2 dan 6 tahun serta isteri.” katanya.

Beliau berkata, suspek yang kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu juga tidak bekerja selepas diberhentikan daripada Ladang Sawit di Jalan Trusan dan sedang mencari pekerjaan baru.

Tiada ulasan: