"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa Azmin tak bawa Duta Khas ke Arab Saudi, perli netizen

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet menyindir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpakaian ihram ketika mengerjakan ibadah umrah.

Mereka bertanyakan mengapa Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu tidak turut membawa Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Terdahulu, Azmin memberitahu dia memulakan misi pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan solat Isyak dan Tarawih di Masjidil Haram serta mengerjakan ibadah umrah.

“Sebelum bertahallul saya berdoa di Bukit Marwah, mengambil berkat dari kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah mencari air untuk Nabi Ismail yang kedahagaan,” katanya sambil menyertakan tiga gambar di Facebook semalam.

Walau bagaimanapun, tidak banyak reaksi yang menyokong Azmin sebaliknya kata-kata pedas yang membanjiri dalam kira-kira 1,000 komentar hanya selepas 21 jam dimuatnaik di media sosial itu.

“Kenapa tak bawa tuan guru Haji Hadi? Kasihan tuan guru selalu dipinggirkan. Saya sebagai walaun agak terasa,” sindir pengguna Facebook, Bang Toyib.

Hal sama juga dibangkitkan Norazman berhubung ketiadaan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu untuk mengiringi Azmin.

“Bagilah dia (Hadi) kerja escort YB ke sana dan boleh tengok nanti Raja Salman keluarkan arahan siapa pula pegawai di sana ke buang kerja,” tempelaknya.

Orang ramai anggap menteri tidak perlu menunjuk buat ibadah.

Hal peribadi

Untuk rekod, Pejabat Perdana Menteri pada 2 April tahun lalu mengumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.

Selepas setahun bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu dilantik ke jawatan tersebut, sebahagian besar rakyat menganggap kerajaan banyak membazirkan wang kerana tiada fungsi dan kerja apapun dilakukan Hadi.

Dalam masa sama ada juga yang mengulas, Azmin tidak harus menghebahkan hal-hal peribadi dilakukan seperti mengerjakan ibadat umrah semasa membuat lawatan rasmi.

Tambahan lagi, banyak perancangan umat Islam termasuk menunaikan haji dan umrah sejak tahun lalu tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan Covid-19.

“Kita pergi atas urusan dan duit kerajaan iaitu duit rakyat. Nanti dikata ambil kesempatan saja. Dah tu ramai rakyat yang hampa sejak dua tahun ni tak dapat nak pergi haji dan umrah.

“Jagalah hati rakyat,” nasihat Shawaludin Mohd Din yang turut disokong lebih 200 tanda ‘suka’.

Tiada ulasan: