"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas Johor mengaku disisihkan Muafakat Nasional

MALAYSIA DATELINE

Badan Perhubungan Pas Negeri Johor menzahirkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan Ahli Majlis dan Ketua Kampung di seluruh negeri yang telah diluluskan oleh Menteri Besar  Johor.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor Abdullah Husin berkata, Pas tidak dipanggil untuk mengadakan perbincangan bagi lantikan Ketua Kampung di seluruh negeri Johor yang menyaksikan bahawa Pas hanya diberikan sebanyak 36 ketua kampung yang mewakili hanya 5% di seluruh negeri Johor.

“Apa yang berlaku ini memberikan isyarat yang salah dalam usaha memperkasa Muafakat Nasional di Johor khususnya, sejak dari mula penubuhan kerajaan baharu pada bulan Mac tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan pernah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor dan Exco yang berkaitan namun ia tidak membuahkan hasil yang positif.

Bahkan Pas Johor juga menggunakan platform mesyuarat Muafakat Nasional untuk membawa hasrat yang akhirnya telah dipersetujui bersama namun hasilnya adalah sangat mendukacitakan.

“Kami tetap berpegang kepada arahan Presiden Pas supaya terus memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional namun sekiranya perkara ini tidak diperbaiki maka dibimbangi tindakan MB Johor ini akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya,

Menurutnya, berdasarkan kepada perlantikan Ahli Majlis yang terkini di Majlis Perbandaran Muar, MPP, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) tiada lantikan daripada wakil Pas seperti mana yang telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum ini.

Tiada ulasan: