"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengkuk PAS sedang dijerut ketat 'ular biru' -' Raja Bahrin

Malaysiakini 

Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Raja Bahrin Shah Raja Ahmad, hari ini menyifatkan kemelut yang melanda Muafakat Nasional (MN) seperti ular yang sedang menjerut leher PAS.

Dakwanya hal itu berlaku apabila PAS gagal mengikut pesanan bekas mursyidul am parti berkenaan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pernah diingatkannya berkali-kali sebelum ini.

"Kalau sebelum ini PAS mengajar kita mencari keredaan Allah dahulu dan bukan kemenangan, tetapi hari ini kuasa dan pangkat adalah segala-galanya buat mereka walaupun terpaksa menebuk atap atau masuk melalui pintu belakang bersama Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suatu ketika dulu, kata Raja Bahrin, Nik Abdul Aziz pernah berpesan secara simbolik mengingatkan ahli PAS agar tidak terpedaya dengan langkah politik Umno.

Katanya apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan Umno seperti itik patah kaki yang melupakan jasa perawatnya, dia teringat kepada pesanan Nik Abdul Aziz itu yang berpesan supaya parti berkenaan mengelak daripada "digigit ular dari lubang yang sama" lebih daripada sekali.

"Pesanan Nik Abdul Aziz amat jelas dan telah diulang oleh beliau beratus kali termasuk melalui ceramah umum.

"Pengalaman pahit PAS bersama Umno di Terengganu dan Kelantan menghantui ingatan almarhum," katanya lagi.

Tak timbul kisah itik patah kaki

Hubungan di dalam MN kini semakin tegang ekoran kenyataan pedas yang dikeluarkan pemimpin kedua-dua parti, termasuk Abdul Hadi yang menganggap Umno sebagai tidak bermoral kerana meninggalkan mereka selepas dipulihkan daripada kekalahan pada 2018.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pula secara sinis menganggap PAS sebagai parti yang kuat dan berharap ia dapat dibuktikan dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor tidak lama lagi.

Walaupun memeterai piagam bersama, PAS memilih untuk bertanding di dua PRN menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN), termasuk di Johor.

Kata Raja Bahrin PAS mula melupakan pesanan Nik Abdul Aziz tidak lama selepas bekas menteri besar Kelantan itu meninggal dunia.

"Kalaulah pesanan almarhum tentang 'jangan digigit ular dari lubang yang sama' itu diingati dan dipatuhi PAS, tidak akan timbul kisah 'itik patah kaki meninggalkan kawan setelah sembuh' seperti sekarang.

"Pengajaran daripada kisah ular ganas lagi berbisa berwarna biru itu patut menjadi ingatan kepada PAS kerana parti itu telah digigit dua kali, iaitu di Terengganu dan Kelantan," katanya.

Raja Bahrin yang pernah menjadi ahli parlimen Kuala Terengganu berkata, dia bersimpati kepada ahli dan penyokong PAS kerana mereka terheret sama merasai 'sakitnya' bisa ular berwarna biru berkenaan.

"Nampak gayanya ular berbahaya yang Tok Guru (Nik Abdul Aziz) minta kita awasi telah melilit ketat tengkuk pimpinan PAS sehinggakan saluran bekalan oksigen ke kepala untuk membolehkan mereka berfikir dengan waras dan bijaksana semakin berkurangan," kata pengerusi Amanah Terengganu itu lagi.

Tiada ulasan: