"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini, sertai PBM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin, dijangka keluar Bersatu pada April ini dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebelum PRU15, sumber memberitahu FMT.

Menurut sumber, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkongsi rancangannya itu dengan pimpinan PBM baru-baru ini.

Tindakan Zuraida keluar parti April depan mengambil kira jangkaan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob akan membentangkan rang undang-undang antilompat parti ketika itu.

“Antara sebab lain mengapa bulan empat (ialah) kerana Zuraida mahu keluar Bersatu sebelum akta antilompat parti diluluskan,” kata sumber itu.

Pagi tadi, FMT mengesahkan Zuraida dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dianggotai Presiden parti itu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pimpinan Bersatu juga dilaporkan menyiasat dakwaan bahawa Zuraida dikaitkan dengan PBM.

Beberapa penyokong dan “orang kuat” Zuraida dilaporkan sudah menyertai PBM, namun parti itu menegaskan Zuraida tidak memohon menjadi ahli.

NGO Penggerak Komuniti Negara, yang pernah dikaitkan dengan Zuraida, dalam kenyataan Disember lepas mendakwa ramai ahlinya telah menyertai PBM.

Pengerusi NGO itu, Nor Hizwan Ahmad berkata, mereka memilih PBM bagi menjayakan agenda “The Great Reset 2030”.

PBM diketuai bekas Ahli Parlimen PKR, Larry Sng, selaku Presiden dan Timbalannya, Haniza Talha, yang juga bekas ahli PKR.

FMT sedang mendapatkan reaksi Zuraida.

Tiada ulasan: