"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cikgu kongsi soalan Matematik Darjah 1, pemegang ‘degree’ pun garu kepala nak jawab

FAZLI RADZI

Seorang cikgu berkongsikan soalan Matematik topik Kombinasi Nombor bagi murid Darjah 1. Walau bagaimanapun rata-rata netizen termasuk pemegang ijazah dalam bidang Matematik garu kepala dibuatnya.

Apa tidaknya, tanpa ada simbol operasi tambah atau tolak, soalan itu didakwa Cikgu Fadli Salleh bercampur aras sekali gus.

Beliau mengakui amat sukar untuk memahamkan murid. Sepatutnya, Cikgu Fadli berkata, soalan dibina secara ansur maju.

“Satu page latih tubi macam soalan a dan b sahaja. Buat banyak-banyak soalan macam tu.

“Soalan c dan d dah berbeza tu. Terus keliru murid-murid. Tu patut buat satu page lain pula.

“Soalan e dan f beza lagi. Pun kena buat soalan dalam satu page lain. Ni campur aduk dalam satu page, pening budak-budak nak jawab, payah guru-guru nak terangkan,” katanya.

Perkongsian Cikgu Fadli itu kemudiannya dihujani komentar yang mempersoal kewajaran soalan tersebut untuk murid seawal usia tujuh tahun.

“Saya yang ada degree Matematik pun tak tau apa benda kombinasi yang dimaksudkan tu, dengan tiada simbol tambah, tolak sama dengan bagai,” kata Anis Hafiza.

Sementara itu, pengguna Facebook Mohd Ezairol Rezan Zainol berpendapat murid-murid yang baru seronok untuk belajar Matematik tidak patut ditakutkan dengan silibus yang terlalu sukar.

Tambahan pula, katanya, ramai murid Tahun 1 masih lagi merangkak untuk membaca dan mengira.

“Fobia budak-budak yang baru nak seronok belajar Matematik. Ada yang tak kena dengan orang yang buat silibus untuk Darjah 1 ni,” ujarnya lagi.

Bagi Norkamal Latif Zainuddin pula, soalan tersebut amat susah untuk diterangkan kepada murid.

“Tahun 1 ada yang baru kenal nombor menaik, menurun. Ni dah suruh congak kira-kira. Handal betul silibus sekarang,” tempelaknya.

Tiada ulasan: