"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar tingkatan satu hamil disyaki angkara abang kandung

N Faizal Ghazali

Seorang pelajar tingkatan satu didapati hamil disyaki angkara perbuatan sumbang mahram oleh abang kandungnya sendiri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan DCP Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kes itu daripada doktor yang bertugas di Hospital Kajang, Selangor, kelmarin.

"Kira-kira jam 2.00 petang semalam pengadu (doktor) bertugas di bahagian kecemasan Hospital Kajang, Selangor, telah terima seorang pesakit perempuan (mangsa) yang mengadu sakit di bahagian perut.

"Semasa pemeriksaan ke atas mangsa dijalankan, doktor mendapati mangsa telah disahkan mengandung 26 minggu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 13 tahun itu bersekolah di sebuah sekolah menengah, di Kota Bharu, di Kelantan.

"Mangsa menyatakan melakukan hubungan seks bersama abang kandungnya beberapa kali. Kejadian berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

"Bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima pihak polis berjaya menahan suspek di Kampung Beta Hulu Kadok, Kota Bharu, kira-kira jam 2.51 petang, semalam," kata Muhamad Zaki.

Jelasnya lagi, suspek berusia 21 tahun yang bekerja sebagai petani dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah.

"Suspek didapati negatif ujian saringan air kencing dan direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan," jelasnya.

Sementara itu susulan peningkatan kes jenayah seksual di kalangan pelajar sekolah Muhamad Zaki berkata, pihaknya menyeru kepada golongan ibu bapa, ahli keluarga dan juga semua guru untuk memberikan perhatian keselamatan kepada anak-anak di persekitaran masing-masing serta mengambil cakna mengenai isu tersebut.

"Pihak polis juga menggesa masyarakat untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat terhadap segala perlakuan dan kegiatan jenayah di negeri ini," tegasnya.

Tiada ulasan: